Korea Utara Sedia Berdepan Harimau Malaya

BANGKOK – Pasukan bola sepak Korea Utara yang tiba di Bangkok, Thailand lewat malam tadi mahu meninggalkan soal politik di luar padang dan fokus dalam misi mengumpul tiga mata penuh ketika menentang Malaysia dalam Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 di Buriram pada 10 dan 13 Nov ini.

Kecewa dengan pertukaran venue perlawanan dari Pyongyang ke Thailand, pengurus Korea Utara kelahiran Norway, Jorn Andersen berkata pemainnya tidak akan membiarkan politik menyekat mereka meraih keputusan terbaik.

“Saya tidak mahu politik dan sukan dicampur aduk. Kami adalah ahli sukan dan kami bermain bola sepak. Kami perlu mengetepikan sukan (daripada politik) dan bermain secara adil menentang Malaysia,” katanya sebaik tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi dari Beijing, lapor Bernama.

Beliau berkata moral pemainnya juga di tahap terbaik dan bersedia melaksanakan tugas yang diberikan.

Perlawanan Malaysia menentang Korea Utara sudah tertangguh selama sembilan bulan sejak Mac lalu ekoran hubungan diplomatik yang terjejas susulan pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada Februari lalu.

Perlawanan turut terjejas susulan sekatan perjalanan rakyat Malaysia ke Korea Utara akibat suasana tegang di Semenanjung Korea berikutan ujian peluru berpandu.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) akhirnya memutuskan perlawanan itu diadakan di i-Mobile Stadium, Buriram, di timur laur Thailand, antara lima dan enam jam pemanduan dari Bangkok.

Andersen menganggap pemilihan venue berkecuali tidak memberi kelebihan kepada mereka namun perlu mematuhi keputusan AFC.

Mengenai penilaiannya terhadap pasukan Harimau Malaya, beliau menegaskan pemainnya tidak boleh mengambil mudah ke atas anak buah Nelo Vingada meskipun lawannya itu berada di tangga tercorot kumpulan.

“Malaysia bukan pasukan teruk dan mereka sentiasa bahaya,” kata Andersen. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.