Jutawan Arab Saudi, Putera Alwaleed Ditahan Siasatan Rasuah

Jutawan Arab Saudi, Putera Alwaleed bin Talal telah ditahan bersama sekurang-kurangnya 10 kerabat diraja, empat menteri dan 10 bekas menteri.

Pengumuman itu dibuat menerusi rangkaian satelit milik Arab Saudi, Al Arabiya.

Tangkapan itu juga atas arahan jawatankuasa tertinggi rasuah yang diketuai oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Muhammad Bin Salman pada petang Sabtu, lapor portal Saudi Gazette.

Jawatankuasa itu juga mengumumkan ia membuka semula fail banjir di Jeddah pada 2009 dan siasatan ke atas isu Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS).

Jawatankuasa berkenaan mempunyai hak untuk menyiasat, menahan, menghalang keluar negara, membekukan akaun serta aset mana-mana individu yang didapati terlibat dalam rasuah.

Bagaimanapun pengumuman penahanan Alwaleed itu mengundang kejutan bukan sahaja di Arab Saudi malah juga di dunia apatah lagi beliau merupakan antara individu terkaya di Asia Barat dengan pelaburan dalam Twitter, Citigroup, rangkaian hotel Four Seasons dan Lyft.

Beliau juga dikenali sebagai seorang yang lantang bersuara di kalangan kerabat diraja Arab Saudi dan turut memperjuangkan hak wanita. Alwaleed juga pemegang majoriti saham Kumpulan Rotana.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.