Erma Bukan Bersara Cuma Enggan Bertanding Lagi

KUALA LUMPUR – Selepas berjaya mengungguli kategori Pengarah Terbaik Drama pada majlis Anugerah Skrin 2017 (ASK 2017) menerusi drama Pesan Dari Tuhan, sutradara Erma Fatima, 49, mengumumkan trofi berkenaan menjadi kemenangan terakhir buatnya.

Menurut Erma atau nama sebenarnya, Fatima Rahmad, sudah sampai masa untuk dia memberikan peluang kepada muka-muka baharu dalam industri drama dan filem mengecap kemasyhuran.

 

Kata Erma, dia juga sudah puas mengecap kegemilangan khususnya dalam bidang pengarahan

“Bagaimanapun, saya tidak akan berhenti menghasilkan atau mengarahkan drama-drama yang berkualiti.

“Ingin ditegaskan saya tidak bersara, cuma enggan bertanding dalam ASK sahaja menerusi kategori peribadi.

“Jika kategori lain yang tidak melibatkan nama saya, akan diteruskan. Misalnya, jika skrip atau suntingan drama arahan saya layak memenangi kategori berkaitan, maka biarlah mereka menang. Itu hak mereka,” katanya kepada Utusan Online selepas majlis kemuncak ASK2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam tadi.

Selain Erma selaku pengarah, drama yang pernah disiarkan di saluran TV2, RTM itu turut memenangi kategori Drama Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama yang dimenangi oleh Remy Ishak serta Lakon TV Terbaik.

Kakak kepada pelakon ternama, Umie Aida itu juga menegaskan, fokusnya kini ialah untuk mengembangkan jenama Mak Cun yang diasaskannya ke peringkat yang lebih tinggi di samping memberi tumpuan terhadap bidang perniagaan yang diceburinya. – UTUSAN ONLINE

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.