‘Cuma Kami Yang Rasai Hubungan Istimewa Ini’

HUBUNGAN pasangan bahagia ini acap kali menjadi tumpuan khalayak terutamanya apabila dipalit isu berantakan sejak diijabkabulkan lebih lima tahun sudah.

Cuma, ia tidak sama sekali bisa menggoyahkan bahtera keluarga Farid Kamil dan isteri, Diana Danielle yang lebih selesa menyifatkan segala yang terbit di makrifat netizen sekadar biasan gosip semata-mata, tidak lebih daripada itu.

Ungkap Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 36, cuma mereka seke­luarga yang mengerti apa yang berlaku, bukannya sekadar me­lakukan tebakan berdasarkan apa yang terpampang di kanvas media sosial.

“Hubungan ini benar-benar istimewa dan hanya dirasai oleh kami. Ia tidak boleh dirasai, disentuh termasuk difahami oleh orang lain.

“Kami benar-benar ber­syukur terhadap apa yang terjadi dalam hidup. Manusia sebenar tidak akan memalsukan kehidupan masing-masing,” getusnya kepada Sensasi Bintang.

Terdahulu, Diana, 25, kelmarin menzahirkan perasaan syukur di laman Instagram miliknya, @dianadanielleb apabila menyifatkan realiti kehidupannya bersama Farid yang dikahwininya pada 3 November 2012 dan anak-anak, Muhammad, 4, dan Nur Aurora, 2, kini jauh lebih baik daripada apa yang difikirkan semasa zaman bercinta.

 

PASANGAN ini cukup bahagia biarpun sering kali terpalit isu berantakan sejak diijab kabul lebih lima tahun lepas.

“Lima tahun dalam perkahwinan dan 10 tahun bersama anda dan keseronokan baru saja bermula @faridkamilz. Sekarang kita berempat mengharungi kehidupan.

“Realiti kehidupan sekarang lebih baik daripada yang kita imaginasikan ketika mula-mula bersama dahulu,” tulis Diana.

Perkongsian Diana jelas mendapat reaksi positif netizen yang mendoakan kese­jahteraan pasangan itu bersama anak-anak sehingga ke hujung nyawa.

Mengulas lanjut, Farid juga mengaku dirinya belum bersedia untuk mengucapkan selamat tinggal kepada dunia lakonan kendatipun tidak menolak kemungkinan bakal berhijrah karier menjadi seorang pensyarah pada masa depan.

“Masih banyak yang ingin dilakukan sebagai pelakon, jadi ini bukan masanya untuk meninggalkan lapangan seni dalam waktu terdekat.

“Anak-anak juga tengah memerhatikan terutamanya Muhammad yang mahu menjadi seperti saya, cuma saya percaya anak-anak masih mumaiyiz serta yang tidak tahu apa erti hidup.

“Kami tidak pernah menentukan apa yang mahu dijadikan pilihan oleh anak-anak, apa yang penting pengajaran yang diterima mereka dalam setiap apa yang berlaku dalam kehidupan,” ujarnya seraya menoktah bicara.-Kosmo

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.