Anak Beranak Maut Selepas Pulang Dari Klinik

Jempol – “Ibu menyuruh saya mengambil gambarnya banyak-banyak kerana selepas ini ibu tiada lagi,” kata anak bongsu Amaisah Mohamad Azid, 54, yang maut kemalangan di Kilometer 9 Jalan Bahau-Kemayan, dekat FELDA Jaya Selatan, di sini, semalam.

Nurizzatul Othman, 14, berkata dia mengambil gambar ibunya menggunakan telefon bimbit petang semalam untuk dihantar kepada kakak yang tinggal di Kajang.

Katanya, dia tidak menyangka kata-kata arwah ibu itu petanda akan pergi buat selama-lamanya kerana ibu suka bergurau.

Arwah ibu dan abangnya, Mohammad Aliff Azmi, 27, meninggal dunia ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di FELDA Serting Hilir, selepas menjalani rawatan dialisis di klinik swasta di Bahau.

“Sudah menjadi rutin abang membawa ibu ke klinik tiga kali seminggu bagi menjalani rawatan berkenaan. Ibu menghidap penyakit buah pinggang sejak lima tahun lalu.

“Ibu dan abang sangat rapat sehinggakan abang sanggup tidak bekerja kerana mahu menjaga ibu. Abang juga menjaga saya dengan baik walaupun kami berlainan bapa,” katanya ketika ditemui di Hospital Jempol, di sini, semalam.

Nurizzatul yang menghidap penyakit jantung berlubang berkata, arwah abang juga yang menghantarnya ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah dan Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur untuk menjalani rawatan.

Dia sangat sedih dengan kehilangan kedua-dua orang tersayang, namun reda dengan ketentuan Ilahi.

Menurut Nurizzatul, jenazah kedua-duanya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELDA Serting Hilir Kompleks, malam tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, dalam kejadian jam 11.47 pagi, kereta Proton Wira dipandu Mohammad Aliff dari arah Bahau ke Kemayan bertembung dengan lori yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat perlanggaran itu, kereta mangsa berpusing dan bergesel dengan Honda Jazz yang mengekori kereta mangsa. Kereta mangsa kemudian terbabas ke bahu jalan.

“Dua beranak terbabit tersepit dan anggota bomba dipanggil untuk mengeluarkan mereka. Amaisah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Mohammad Aliff meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Jempol akibat cedera parah di kepala,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pemandu lori Mohamad Shahrom Nasuha, 29, dan pemandu Honda Jazz, Azman Awang Teh, 45, tidak cedera.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dibedah siasat di Hospital Jempol dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.