Amaran Pakar, Pulau Pinang Umpama Bom Jangka Kini Jadi Kenyataan

Masuk kali ini, sudah 120 kali banjir kilat direkodkan di Pulau Pinang sejak 2013. Berbeza sebelum ini, kali ini banjir berkenaan paling buruk dan telah melumpuhkan seluruh bandaraya itu.

Ia berlaku tidak lama selepas 11 pekerja pembinaan terbunuh setelah tertimbus dalam tanah runtuh di kawasan pembinaan bangunan di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah, Georgetown, pada 21 Oktober lalu.

Banjir kilat yang berlaku sejak semalam itu telah meragut tiga nyawa dengan seorang maut akibat dihempap pokok manakala dua lagi meninggal akibat lemas.

Bencana itu juga memaksa Ketua Menteri, Lim Guan Eng terpaksa memohon bantuan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Facebooknya bagi membantu pasukan penyelamat sedia ada yang kini sedang bertungkus lumus menyelamatkan mangsa banjir di negeri tersebut.

 


Jika sebelum ini Guan Eng pernah mendakwa Kelantan adalah sebuah negeri gagal dan muflis kerana ditadbir oleh sebuah parti yang gagal iaitu PAS dan turut mendakwa Kerajaan Pas Kelantan gagal menyelesaikan isu rumah mangsa banjir 2014, kini perkara itu beralih kepadanya.

Kalau ikutkan, pada 15 Disember 2013, Guan Eng dengan angkuh membuat janji akan menyelesaikan masalah banjir di Pahang dalam tempoh sepenggal sahaja jika mereka menang Pilihan Raya Umum (PRU) dan menguasai Kerajaan Persekutuan.

Kini negeri beliau sendiri berdepan banjir kilat.

Pada 2012, Timbalan Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Mohideen Abdul Kader ketika itu sudah meluahkan kebimbangan terdapat banyak keraguan dalam proses kelulusan kepada dua pemaju yang akan membangunkan projek di Lot 14345, Mukim 12, Persiaran Kelicap.

Sudah berapa tahun SAM bercakap mengenai risiko bencana disebabkan oleh pembangunan tidak teratur. Begitu juga dengan pakar-pakar alam sekitar yang sudah memberikan amaran lebih awal mengenai bencana tanah runtuh dan banjir di negeri itu.

Pada tahun lepas pula, pensyarah Biologi Marin di Pusat Pengajian Sains Kaji Hayat Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Zulfigar Yasin, menyifatkan keadaan alam sekitar di Pulau Pinang umpama bom jangka, yang bakal meletup pada bila-bila masa.

Beliau ketika itu bercakap mengenai kegiatan dan rancangan menambak lebih 2,600 hektar laut untuk pelbagai projek mewah, yang berleluasa di Pulau Pinang, ibarat bom jangka kepada alam sekitar, yang akan menjejaskan kesejahteraan hidup rakyat dalam jangka panjang.

https://www.bharian.com.my/node/220700

Sekarang apa yang ditakuti oleh mereka ini sudah menjadi kenyataan. Jika Guan Eng mendengar saranan mereka, mungkin kejadian ini dapat diatasi dan dielakkan.

Jika banjir kilat yang melanda negeri itu pada 16 September lalu dikatakan disebabkan oleh hujan lebat yang melampau dengan purata taburannya sebanyak 270 milimeter, kali ini apa pula alasan Guan Eng.

Masih mahu disalahkan kepada hujan lebat jugakah sedangkan peringatan dan amaran telah diberikan oleh pakar-pakar mengenai pembangunan tidak seimbang di negeri itu.

Disebabkan oleh kekecewaan dengan  sikap degil Kerajaan DAP Pulau Pinang berhubung pembangunan di lereng bukit juga mengakibatkan  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu meluahkan hasrat meninggalkan parti tersebut.

“Sudah sampai masanya untuk saya membuat keputusan ini (meninggalkan DAP). Sebelum ini saya pernah suarakan hasrat sama pada Jun lalu. Saya yakin parti juga mengetahui mengenai perkara ini,” katanya kepada pemberita pada 30 Oktober lalu.

Yee Cheu sebelum ini seorang yang lantang mengkritik kerajaan pimpinan DAP itu dan beliau turut melahirkan rasa kecewa berhubung tragedi tanah runtuh di tapak projek di Tanjung Bungah yang mengorbankan 11 nyawa pada 21 Oktober lalu.

Ini kerana Yee Cheu sudah menyatakan bantahan mengenai projek lereng bukit itu.

Apapun semoga penduduk di Pulau Pinang akan selamat dan dijauhi daripada segala musibah.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.