Jangan Anjur Program Syok Sendiri – Ku Nan

PUTRAJAYA – Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Putrajaya (MPPWP) ditegur tidak membuat program ‘syok sendiri’, sebaliknya perlu menganjurkan aktiviti bagi memenangi hati rakyat.

 

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meminta MPPWP dan Perbadanan Putrajaya (PPJ) melaksanakan program turun padang untuk bertemu masyarakat dan menyelami permasalahan mereka.

 

“Saya tidak puas hati terhadap pencapaian program-program yang dilaksanakan selama ini di Putrajaya. Program dibuat kelihatan syok sendiri, sepatutnya kita perlu buat program untuk mengetahui isi hati dan apa rakyat mahukan.

 

“Program dibuat tidak tepati kehendak rakyat, maka mereka menyalahkan kerajaan. Saya mahu program dijalankan mendahulukan kepentingan rakyat dan apa yang rakyat mahu,” katanya dalam ucapan perasmian Karnival Komuniti dan Hari Pusat Pembelajaran Kejiranan (PPK) di Kompleks Kejiranan Presint 11, hari ini.

 

Ahli Parlimen Putrajaya itu juga mahu perwakilan penduduk memberi maklumat sahih supaya rakyat tidak keliru berhubung beberapa isu pada masa ini, terutama ada pihak tertentu mengambil kesempatan menokok tambah maklumat tidak benar.

 

“Jadi, dalam situasi ini, MPPWP dan PPJ jangan hanya memegang jawatan dan merosakkan nama kerajaan sahaja, tetapi memainkan peranan untuk berkhidmat kepada rakyat,” kata Tengku Adnan.

 

Sementara itu, beliau turut meminta warga Putrajaya bersama menjaga segala kemudahan disediakan kerajaan demi manfaat mereka.

 

Katanya, perkara ini merupakan tanggungjawab bersama bagi memastikan kemudahan itu dijaga dan diselenggara dengan baik.

 

Mengenai karnival, beliau berkata, ia dapat mengukuhkan hubungan baik antara PPJ dengan komuniti ceria di Putrajaya serta memupuk semangat kebersamaan dan kesukarelawan dalam kalangan anak-anak muda melalui pengisian aktiviti karnival.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.