Peserta Gesa Felcra Tidak Jual Tanah

Kuala Lumpur – Peserta Rancangan Tanah Felcra Bhd di negeri ini yang mendapat geran hak milik tanah digesa agar tidak menjual tanah mereka kepada pihak lain.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Negeri Johor Datuk Hasni Mohammad berkata ini adalah bagi memastikan generasi mereka yang akan datang, akan turut mendapat faedah daripada pemilikan tanah berkenaan.

“Saya harap mereka yang dapat geran tidak menjual tanah mereka, teruskan kerjasama dengan Felcra sebagai agensi pembangunan,” kata beliau.

Hasni berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan geran hak milik tanah kepada 287 peserta dan waris Rancangan Tanah Felcra Bhd di Sungai Ara, hari ini.
Rancangan pembangunan itu katanya bukan sahaja mengubah kawasan itu yang dulunya hutan kepada kawasan yang membangun dari segi ekonomi tetapi juga mengubah kehidupan para peserta kepada yang lebih baik.

Beliau berkata generasi kedua rancangan pembangunan itu mempunyai kualiti pendidikan yang lebih tinggi di mana ada yang memasuki institusi pengajian tinggi dan mempunyai pekerjaan yang baik.

Sementara itu, salah seorang peserta Felcra yang ditemui, Ahmad Turiman berkata hampir 40 tahun mencurah keringat mengusahakan tanah itu dengan tanaman kelapa sawit adalah tidak sia-sia dan boleh memberikan faedah kepada generasi mereka yang akan datang.

“Saya bersyukur kepada Allah kerana mendapat hak milik yang sebenarnya dan insya-Allah kita akan usahakan selanjutnya untuk generasi akan datang pun dapat teruskan,” kata Ahmad.

Ahmad, 59, yang menyertai tanah rancangan yang dahulunya dikenali Rancangan Tanah Belia ketika berusia 19 tahun, sudah menikmati hasil daripada fasa tanaman semula kelapa sawit yang dijalankan pada 2006.

Sementara itu, Ahmad Jaafar, 62, yang turut menerima surat hak milik itu tidak dapat menggambarkan rasa kegembiraannya namun sempat melahirkan rasa terima kasih kepada Felcra dan kerajaan negeri kerana menunaikan apa yang beliau impikan sejak menyertai rancangan itu.

Terdahulu, Pengurus Besar Wilayah Felcra Bhd Johor Jamaluddin Razali pula berkata selain melaksanakan pembangunan ekonomi berasaskan ladang kelapa sawit, Felcra juga membangunkan modal insan.

“Penubuhan institusi asas seperti Jawatankuasa Kemajuan Projek (JKKP) mampu melahirkan pemimpin di peringkat masyarakat yang dapat menyelaras dan mengimbangi matlamat peserta dan pengurusan Felcra Bhd sendiri selain ia berfungsi sebagai badan bukan kerajaan yang menjaga kebajikan masyarakat setempat,” katanya.

Menurut beliau, golongan wanita di rancangan tanah itu juga menganggotai Institusi Wadira (Wanita Dinamis Felcra) yang memberikan mereka peluang menceburi bidang ekonomi dan sosial.

Persatuan Belia Felcra Sungai Ara pula katanya memberikan platform bagi generasi muda bergiat aktif dalam aktiviti sukan dan rekreasi.

“Ini semua tanggungjawab sosial yang Felcra jalankan di dalam membangunkan masyarakat dengan bukan hanya tertumpu dalam kegiatan perniagaan semata-mata,” kata beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.