Perancis Hargai Pendekatan Sederhana Malaysia Dalam Menentang Keganasan – Le Drian

Kuala Lumpur – Perancis menghargai konsep kesederhanaan yang dibangkitkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana ia merupakan suara Malaysia dalam menghapuskan ekstremisme, kata Menteri Pertahanannya Jean-Yves Le Drian.

Le Drian berkata konsep itu dan pelaksanaannya menggambarkan imej sebenar Islam, yang kini telah dipesongkan jauh daripada makna sebenar agama itu oleh segelintir kumpulan militan.

“Islam adalah satu agama yang terbuka dan sederhana.

Kami juga menghadapi tempoh yang sukar berkenaan isu ini, Malaysia mempunyai peranan untuk mempromosi keamanan dan keselamatan antarabangsa selain daripada memerangi keganasan, kata beliau yang sedang dalam lawatan kerja dua hari ke Malaysia.

Malaysia dipilih sebagai anggota tidak tetap dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu baru-baru ini dengan konsep kesederhanaannya diterima oleh 192 negara anggota.

Malaysia dan Perancis menentang sekeras-kerasnya kumpulan militan digelar IS kerana pertubuhan militan itu tidak mencerminkan Islam dan mengancam dunia.

Oleh kerana pendirian Malaysia dengan kesederhaan, Le Drian melahirkan keinginannya untuk menentang keganasan bersama Malaysia.

Beliau berkata pergerakan IS telah berubah kepada satu dimensi baru, yang mana ia memiliki keupayaan ketenteraan tradisional, dan menarik minat pejuang dari seluruh dunia menyertainya selain daripada membunuh mereka yang tidak bersalah.

“IS adalah suatu ancaman kepada semua orang dan kerana itu mengapa kami (Malaysia dan Perancis) perlu menyertai perjuangan ini,” katanya.

Mengenai pertikaian Laut China Selatan, Le Drian bersetuju dengan Malaysia bahawa ketegangan itu boleh diselesaikan menerusi dialog.

Beliau yakin dengan kesungguhan Malaysia menyelesaikan isu itu, terutamanya apabila Malaysia menjadi Pengerusi Asean tahun hadapan.

“Kami berharap penyelesaian yang aman dicapai,” tambahnya lagi ketika mengulas isu pertikaian kawasan maritim di Laut China Selatan antara China dengan beberapa negara Asean dan Jepun yang telah menjadi tegang.

Menyentuh mesyuarat dua hala Malaysia dan Perancis dijadualkan di Perancis Disember tahun ini, Le Drian berkata antara isu utama akan dibincangkan ialah keinginan Perancis mewujudkan pakatan strategik bersama Malaysia.

“Bagi merealisasikan pakatan strategik (dengan Malaysia), saya telah mengutus sepucuk surat kepada Presiden Perancis mengenai perkara itu,” katanya.

Perkara lain yang dijangka dibincangkan pada mesyuarat itu ialah pertukaran analisis keadaan geo-politik dunia, tindak balas bersama untuk meneruskan persenjataan, mengukuhkan bidang risikan, cegah keganasan dan pendekatan bersama. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.