Parlimen Belia: KBS Akan Adakan Pemilihan Semula

Kuala Lumpur – UALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan akan mengadakan proses pemilihan semula anggota Parlimen Belia Malaysia bagi memastikan individu yang terpilih mewakili komposisi kaum dan jantina secara seimbang.

Menterinya, Khairy Jamaluddin, berkata terdapat sedikit kelemahan dari segi pemilihan anggota Parlimen Belia Malaysia ketika ini kerana 90 peratus daripadanya diwakili kaum lelaki dan berbangsa Melayu.

“Saya sudah memohon pandangan dan kelulusan jawatankuasa Kabinet supaya dapat membuat lantikan baharu yang akan dibuat oleh saya yang mana kita akan lantik dalam kalangan calon yang tidak berjaya semasa proses pemilihan lepas.

“Calon itu juga adalah di kalangan perempuan dan calon daripada kaum Cina, India dan kaum lain supaya ada keseimbangan yang lebih mencerminkan demografi populasi di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa kabinet Pembangunan Belia di Bangunan Parlimen hari ini.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Parlimen Belia Malaysia yang disertai 120 wakil belia akan membahas pelbagai isu tempatan sebagai langkah memberi pendedahan kepada golongan berkenaan terhadap proses penggubalan undang-undang dan sistem pentadbiran negara.

Penubuhannya adalah mengambil contoh yang telah diamalkan di 33 buah negara antaranya Australia, United Kingdom, Timor Leste dan Bangladesh.

Semua calon diberi peluang berkempen selama dua minggu bermula 8 Oktober lepas sebelum pengundian berlangsung selama seminggu bermula 22 Oktober. Undian pula dilakukan secara dalam talian dan pengundi hanya boleh mengundi calon dari negeri masing-masing.

Khairy berkata, pemilihan semula itu yang dikendalikan kementeriannya akan memastikan penglibatan lebih ramai wanita dan pemimpin belia daripada pelbagai kaum.

Khairy berkata, persidangan Parlimen Belia akan bermula 10 Januari tahun depan di Dewan Rakyat manakala pra-persidangan akan diadakan hujung bulan ini sebagai persediaan.

Katanya, mesyuarat itu turut membincangkan mengenai penambahbaikan dasar berkaitan belia di negara ini melalui pelaksanaan Dasar Belia Malaysia yang akan menggantikan Dasar Pembangunan Belia Negara 1997.

“Dasar Belia Malaysia ini akan dibentangkan pada tahun depan dan telah mendapat persetujuan daripada jawatankuasa Kabinet. Selepas persetujuan itu akan saya bentangkan pada jemaah menteri untuk persetujuan dan kelulusan yang muktamad,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.