Maya Dedahkan Amelina Bertudung Untuk Elak Dikenali Peminat

Petaling Jaya – Sudah lama kita semua tidak mendegar nama ratu dangdut, Amelina. Namun semalam industri hiburan dikejutkan dengan gambar pennyanyi yang cukup popular dengan lagu Asyik ini sedang bersantai di sebuah pusat membeli-belah bersama dua lagi individu.

Salah seorang individu yang berada di sebelah penyanyi dangdut itu ialah penyanyi Maya yang pernah dikenali dengan lagu Matahari.

Lantas pelbagai persoalan timbul apabila gambar berkenaan menjadi bualan kerana sebelum ini Amelina dikatakan sudah bertudung dan tiba-tiba gambar yang kelihatan itu menunjukkan beliau menayang rambut panjangnya.

Dalam laporan Berita Harian online menyebut, Maya mengakui yang dia memang ada bersua dengan penyanyi itu minggu lalu di Bangsar Shopping Centre ditemani seorang lagi teman Amelina.

“Kami selalu berhubungan. Nak kira lama itu bolehlah juga. Kiranya hubungan kami secara sekali sekala. Sesekali kami berhubung bertanya khabar. Almaklumlah nak jumpa susah dan kami masing-masing pun mempunyai komitmen tersendiri.

“Pendek kata memang susah nak jumpa. Cuma pernah suatu hari saya katakan kepadanya, kita perlu bersua juga. Alhamdulillah jadi juga pertemuan kami.

Cuma tak sangka ada orang yang menyedari kehadiran dia ketika kami berjumpa dan mengambil gambar kandid kami.

“Saya sendiri perasan perkara itu… dan tak sangka ia menjadi topik di laman sosial,” kata Maya.

Mengenai status sebenar Amelina sama ada sudah bertudung atau tidak sebenarnya, kata Maya, penyanyi itu belum bertudung seperti yang disangka.

“Selama ini memang orang sudah salah erti mengenai imejnya ketika timbulnya cerita suatu ketika dulu mengenai isu rumah di Kota Kemuning, Shah Alam. Ketika isu itu timbul, dia tak nak orang kenal dan mungkin sebab itu juga dia mengenakan tudung.

“Tapi biasalah orang masih dapat cam wajahnya,” katanya.

Umum tahu, rumah tangga yang dibina Amelina sehingga kini terus menjadi tanda tanya dan rahsia. Selepas berkahwin, Amelina terus hilang daripada pandangan dunia seni.

“Setahu saya dia gembira dengan kehidupannya. Cuma bab rumah tangga saya tak pasti kerana selalunya kami tak cakap mengenai hal itu. Kami banyak berkongsi memori lama mengenai dunia seni. Dia pun sebenarnya masih mengambil tahu perihal dunia seni,” katanya Maya lagi.

Maya juga memberitahu kemungkinan besar Amelina bakal memeriahkan kembali dunia seni tak lama lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.