Gambar Pergaduhan Kaum Di Pangsapuri Sri Perantau PALSU Dan Keterlaluan

Klang – Tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat dan gambar palsu tentang pergaduhan kaum di Pangsapuri Sri Perantau di Pelabuhan Klang sejak Ahad lepas dianggap keterlaluan.

Pengerusi Persatuan Penduduk pangsapuri berkenaan, Awang Noh Dollah berkata mana-mana pihak yang terlibat diminta segera menghentikan penyebaran itu.

Beliau berkata lebih 3,000 penduduk di 12 blok pangsapuri itu belum pernah mengalami sebarang pergaduhan kaum seperti diwar-warkan walaupun 60% daripada penghuni berbangsa Melayu manakala 40% pula masyarakat India.

“Kita nafikan berlaku pergaduhan kaum di pangsapuri ini dan kami minta pihak yang menyebarkan itu segera hentikan sebab ia memburukkan nama penduduk di sini sedangkan kita hidup aman damai saja,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut Awang Noh, gambar itu hanyalah adegan lakonan sekumpulan penuntut institusi pengajian tinggi yang kebetulan sedang merakamkan filem pendek untuk dimuat naik ke laman sosial.

Sehubungan itu, katanya, persatuan penduduk pangsapuri tersebut membuat satu laporan polis di Balai Polis Pelabuhan Klang hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.