Dulu Ciplak Mitsubishi, Sekarang Honda – Bung Mokhtar

Kuala Lumpur – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Mokhtar Radin mempersoalkan tindakan Proton Holding Berhad (PROTON) yang terus meniru dan mengambil model dan teknologi kereta Jepun walaupun sudah hampir 30 tahun beroperasi.

Katanya, perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana kerajaan telah menghabiskan banyak duit untuk PROTON membangunkan kereta nasional itu dengan pelbagai kemudahan termasuk pengecualian cukai.

“Hampir 30 tahun PROTON sudah beroperasi, dulu kita ciplak enjin Mitsubishi, sekarang ini kita ciplak pulak Honda Accord.

“Apakah kita tidak ada perancangan untuk mewujudkan kereta Malaysia, teknologi Malaysia sendiri?

“Kenapa kita tidak boleh mewujudkan enjin dan badan kereta sendiri? Jangan badan Malaysia tetapi roh dari Jepun,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini.

Bung Mokhtar berkata, beliau sebagai rakyat Malaysia malu dengan prestasi PROTON yang gagal membangunkan industri kereta Malaysia yang boleh dibanggakan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed bagaimanapun menafikan dakwaan Malaysia tidak mempunyai kereta asli sendiri.

“Kita ada kereta asli Malaysia, Iriz umpamanya model terkini PROTON di mana enjin semuanya lebih 90 peratus komponennya daripada Malaysia.

“Kita ada, bukan tidak ada. Enjin pun dicipta oleh rakyat Malaysia. Dakwaan tiada kereta Malaysia tidak benar,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Bung Mokhtar.

Munurut Mustapa, pendekatan yang diambil oleh PROTON mengadaptasi kereta Honda menjadi PROTON Perdana merupakan kaedah perniagaan yang lebih murah.

Jelasnya, sekiranya PROTON membangunkan sendiri rekabentuk dan teknologi untuk mengeluarkan model baru, ia memerlukan kos sebanyak USD500 juta hingga ke USD2 bilion.

“Kalau PROTON hendak bangunkan satu model baru dengan penyelidikan oleh jurutera PROTON dan semuanya sekali satu ia makan masa yang lama dan keduanya kosnya tinggi.

“Jadi adalah lebih murah dari segi kaedah perniagaannya dengan mengadaptasi atau YB kata ciplak apa yang sudah ada kerana dibuat dalam skala yang kecil.

“Keperluannya 3,000 hingga 4,000 unit sahaja oleh kerajaan, kalau kosnya USD500 juta awal-awal sudah rugi lagi.

“Kadang-kadang lebih baik diadaptasi model-model sedia ada,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.