Azmin Dijangka Jumpa Sultan Selangor Bincang Isu Pulangkan Kitab Bible

Shah Alam – Bible versi bahasa Melayu dan Iban yang dirampas awal tahun ini kerana mengandungi perkataan “Allah” dijangka dipulangkan semula kepada Pertubuhan Bible Malaysia (PBM) tidak lama lagi, mengakhiri kemelut 10 bulan antara penganut Kristian dan pihak berkuasa agama Selangor.

Menurut portal Malaysian Insider (TMI), 321 naskhah kitab suci Kristian itu, dirampas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang melarang penganut agama lain menggunakan perkataan “Allah” akan dipulangkan dalam tempoh seminggu.

Sumber tersebut turut memberitahu portal TMI, Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali awal minggu ini membangkitkan isu tersebut dalam mesyuarat Dewan Diraja Selangor yang turut dihadiri mufti dan pihak berkuasa agama negeri tersebut.

“Azmin jumpa pegawai kanan Jais dan Mais (Majlis Agama Islam Selangor) dan membincangkan isu ini dengan mereka pagi Isnin baru-baru ini,” kata sumber pejabat menteri besar itu.

Hasil mesyuarat dikatakan positif dan sumber itu membayangkan semuanya akan selesai dalam masa seminggu.

Azmin dijadualkan mengadap Sultan Selangor pada Selasa minggu depan, dan antara perkara yang akan dibincangkan melibatkan isu Bible.

“Ini pertemuan mingguan… besar kemungkinan isu Bible ini akan dibincangkan dengan Tuanku,” kata sumber.

Katanya, jika Sultan Selangor memberi restu bagi memulangkan Bible tersebut, Azmin dijangka mengarahkan pihak berkuasa agama negeri tersebut memulangkan serta-merta.

Semalam, media melaporkan Azmin berkata beliau akan merujuk kepada Sultan Selangor bagi menyelesaikan isu rampasan Bible tersebut.

Azmin pada satu majlis makan malam anjuran DAP Isnin lalu berkata, Bible itu milik penganut Kristian dan orang Islam mesti menghormati hak mereka mengamalkan agama masing-masing seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Langkah sama sebelum ini diambil bekas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, namun gagal mencari kata putus dan Azmin juga menggunakan pendekatan sama.

Jais berkata, tindakan merampas Bible itu dibuat mengikut Enakmen Agama Bukan Islam 1988 (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) yang diluluskan kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan menghalang bukan Islam di Selangor menggunakan 35 perkataan berbahasa Arab termasuk “Allah”, “Nabi”, “Injil” dan “Insya-Allah”.

Walaupun sudah diarahkan memulangkan semula oleh Jabatan Peguam Negara, Jais masih bertegas tidak mahu berbuat demikian.

Kemelut tersebut dikatakan antara punca Khalid dipaksa meletakkan jawatannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.