CYBERJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah diterima menghadap Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan di Qasr Al Shati, Abu Dhabi.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin membincangkan hubungan dua hala serta meneroka peluang menjalin kerjasama selanjutnya di antara Malaysia dan UAE.
Anwar turut menyampaikan ucapan salam Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan harapan baginda untuk kemajuan dan kemakmuran UAE.
Selanjutnya Sheikh Mohamed juga mengucapkan selamat maju jaya untuk Malaysia dan rakyatnya.
Kedua-duanya turut mengkaji kerjasama sedia ada dan berbincang mengenai pengukuhan hubungan terutama dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan, tenaga boleh diperbaharui serta keterjaminan makanan yang memenuhi visi kedua-dua negara ke arah masa depan yang mampan dan makmur.
Pada pertemuan itu juga, mereka turut menekankan kepentingan mempromosi kerjasama ke arah mewujudkan perkongsian ekonomi yang komprehensif di antara Malaysia dan UAE serta perkembangan terkini di peringkat serantau dan antarabangsa.
Hadir sama dalam pertemuan itu ialah Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Duta Besar Malaysia ke UAE Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin.
Perdagangan bukan minyak antara UAE dan Malaysia pada 2022 mencapai AS$4.6 bilion, merekodkan pertumbuhan 5 peratus berbanding tahun sebelumnya dan meningkat 31 peratus dari tahun 2020.
Sehingga kini nilai pelaburan Malaysia di UAE berjumlah AS$150 juta merentasi sektor industri, bangunan dan pembinaan, hartanah, perdagangan, pengangkutan, penyimpanan, aktiviti kewangan, insurans dan aktiviti profesional dan teknikal.
Pelaburan UAE di Malaysia berjumlah lebih daripada AS$220 juta, termasuk lebih daripada AS$51 juta dalam sektor perindustrian.
.