Dakwaan 90 Peratus Setuju Jual Tanah Hanya Cerita Bohong Menteri – Penduduk Kampung Baru

KALANGAN pemilik dan pewaris tanah Kampong Bharu menggelar Khalid Samad pembohong kerana mendakwa 90% daripada mereka setuju menjual tanah tersebut pada harga RM850 sekaki persegi.

Pemilik tanah ini memberitahu The Malaysian Insight berkata angka yang disebut Menteri Wilayah Persekutuan itu tidak menggambarkan keadaan sebenar kerana hanya berdasarkan sekitar 500 pemilik.

Hanya sejumlah itu yang mengembalikan borang persetujuan untuk menjual tanah tersebut sedangkan jumlah keseluruhan pemilik dan waris tanah jauh lebih tinggi, kata pemilik ini.

Pemilik tanah Ar Mohtar Rahmad berkata kenyataan Khalid itu juga akan menyebabkan lebih ramai pemilik dan waris tawar hati untuk membangunkan Kampong Bharu.

“90% itu daripada borang yang dihantar masa itu. Itu lebih kurang 8% sahaja daripada 5,374 pemilik tanah. Dia bukan tipu orang Kampong Bharu sahaja tetapi seluruh Malaysia.

“Bila menipu macam ini kita pun sudah tawar hati untuk bangunkan. Kita ada perancangan menang-menang dengan kerajaan tanpa perlu menjual tanah.

“Kita mahu bangunkan sama-sama dengan dana kerajaan,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Khalid pada Rabu lalu yang menyebut, Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) telah menerima kira-kira 700 hingga 800 borang daripada penduduk.

“Sejumlah 90% daripadanya bersetuju dengan harga tawaran RM850 sekaki persegi untuk menjual tanah itu,” kata Khalid.

Turut menyuarakan rasa tidak puas hati Mastura Abu Samah, 57, yang berkata Khalid tidak wajar menipu orang kampung dengan gambaran yang tidak tepat seperti itu.

“Saya buat tinjauan dengan ramai orang Kampong Bharu, mereka kata Khalid itu penipu,” katanya.

Menurut Mastura, majoriti orang kampung tidak menolak pembangunan namun meminta supaya ia dibuat mengikut konsep yang dimahukan oleh mereka.

“Boleh hendak bangunkan tetapi ikut kita punya konsep. Khalid beri empat pilihan tetapi semuanya untuk jual tanah. Tiada pilihan lain selain daripada jual,” katanya.

Dalam sesi Townhall bersama pemilik tanah di Dewan Perdana Felda, Jalan Maktab, Kuala Lumpur Sabtu lalu, Khalid mengemukakan empat tawaran.

Pemilik diberi pilihan menerima pulangan tunai, pulangan unit siap, kombinasi pulangan tunai dan unit siap, dan pulangan pemegang saham dalam syarikat tujuan khas (SPV).

Berita berkaitan;

Video: “Kamu Pun Dah Ada Dalam Kubur”, Netizen Kecam Menteri Sindir Penduduk Kampung Baru

Pentadbir Laman FB Kementerian Wilayah Mohon Maaf Selepas Dikecam Netizen

Seorang lagi pemilik Azizah Abdul Latif serik dengan rancangan pembangunan seperti itu kerana khuatir apa yang berlaku pada tahun 1980-an berulang kembali.

Katanya, pada waktu itu terdapat usaha untuk membangunkan tanah Kampong Bharu tetapi projek oleh satu syarikat pemaju itu terbengkalai.

Beliau yang turut terlibat dalam projek tersebut menghadapi masalah kerana tanahnya “tergantung” di tangan bank disebabkan kemelesetan ekonomi ketika itu.

“Bila melibatkan pinjaman bank, takut tersadai macam yang berlaku pada 53 lot sebelum ini. Ini kes lama tahun 1980-an.

“Bila berlaku kegawatan, habis semua projek. Itu antara sebab orang sini fobia bila cagar tanah untuk dibangunkan. Jadi kita perlu kerajaan,” katanya.

Jelasnya kerajaan boleh melibatkan diri dalam projek itu seperti pembangunan Kampung Morten di Melaka.

“Kita hendak pembangunan bersama-sama dengan kerajaan tetapi mengikut cara kita. Tengok Kampung Morten dekat Melaka, kenapa tidak mahu buat macam itu?” soalnya.

Pertubuhan Pemilik Tanah & Waris Tanah Kampong Bharu (PPTWT) pula menganggap Khalid bermain propaganda untuk tunjukkan seolah-olah majoriti pemilik tanah dan pewaris bersetuju menjual tanah mereka.

Setiausaha PPTWT, Zainudin Ismail berkata mereka tidak boleh menerima dakwaan seperti itu yang dilihatnya sebagai perang psikologi semata-mata.

Sedangkan ramai pemilik tanah sudahpun meninggalkan majlis townhall yang diadakan, dakwanya.

“Pada saya itu hanya strategi, perang psikologi. Kalau 2,000 orang sudah balik masa townhall belum habis, orang sudah tidak berminat, bagaimana dia boleh kata 90% pemilik sini setuju,” katanya

Jelasnya, PPTWT juga terkilan kerana tidak mendapat maklum balas untuk bertemu menteri itu walau sudah mengutus lima surat kepada Khalid untuk mengadakan perbincangan.

“Kami mahu berjumpa dengan Khalid dari hati ke hati. Khalid tidak pernah berjumpa dengan kami sejak jadi menteri. Dia jumpa PKB sahaja.

Khalid semalam berkata beliau akan melihat jika pemilik juga boleh ditawarkan saham dalam projek pembangunan Kampong Bharu.

Katanya, ia akan lebih bermanfaat kepada semua orang berbanding tawaran harga terlalu tinggi yang menurutnya akan menjejaskan daya maju projek itu.

Beliau juga akan berbincang dengan perdana menteri untuk mengenai tawaran kepada pemilik tanah itu dalam pemukiman pemimpin Pakatan Harapan hujung minggu ini.

“Kita kena tentukan tawaran yang dibuat munasabah dan boleh menjamin keuntungan, bukan sekadar keuntungan, tetapi juga kebolehlaksanaannya dan tidak rugi,” katanya.

Katanya, kaedah pajakan seperti dicadangkan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) pula sukar dlaksana kerana penduduk tidak akan memperoleh nilai ke atas tanah itu.

Pemaju pula akan keberatan menyerahkan semula bangunan dan aset yang dimajukan selepas tamat tempoh pajakan, katanya. – MalaysiaInsight

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.