Saya Bertanding Lawan Musuh UMNO – Isa Samad

TAN Sri Mohd Isa Samad Abdul Samad tidak perlukan gimik memperkenalkan diri kepada pengundi, kehadiran beliau dalam arena politik sejak empat dekad lalu. Agak terkilan kerana hadirnya kali ini atas tiket Bebas, beliau yakin bakti selama ini boleh menjadi bekalan ke Dewan Rakyat.

Ikuti perkongsiannya bersama wartawan Veena Rusli, Syed Umar Ariff dan Ifwan Tun Tuah.

Soalan: Apa yang mengubah kesetiaan Tan Sri terhadap UMNO?

Jawapan: Saya keluar UMNO kerana tidak setuju dengan keputusan pucuk pimpinan memboikot PRK ini. Selepas Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson, saya ingatkan Barisan Nasional (BN) atau UMNO nak bertanding sebab ia peluang baik untuk BN.

Menang atau kalah tidak penting, tetapi boleh menjadi plat-form parti untuk menyampaikan pandangan dan kritikan terhadap kerajaan hari ini. UMNO Bahagian Teluk Kemang sudah lama mahu bertanding di kerusi berkenaan, namun tidak dapat kerana ia adalah kerusi tradisi MIC. Tapi bila ada peluang, UMNO tak nak bertanding.

Saya tak nak dipecat. Saya tak nak baca muka depan BH tulis ‘UMNO pecat Isa,’ jadi biar saya keluar.

S: Keputusan Tan Sri bertanding dikatakan mengejutkan calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Ketua Umum PKR?

J: Jika Anwar terkejut dengan keputusan saya, saya lagi terkejut dengan keputusan dia bertanding di Port Dickson. Beliau ada Permatang Pauh yang diwakili anaknya dan Pandan yang diwakili isterinya. Malah, saya dengar ada yang menawarkannya bertanding di Nibong Tebal dan Sungai Petani. Saya hairan kenapa dia pilih Port Dickson.

S: Apakah sukar bagi mengingatkan penyokong dan pengundi yang Tan Sri bertanding menggunakan logo kerusi, bukan lagi BN dengan logo dacing?

J: Memang ada segelintir penyokong tak sedar saya bertanding sebagai calon Bebas, termasuk kalangan ahli keluarga yang sudah berusia. Jadi, saya perlu memberi penjelasan dan jentera juga memberi tumpuan menerangkan kepada orang ramai.

Kelmarin di pasar malam di Linggi, seorang penyokong bertanya mengapa saya tinggalkan UMNO, saya ceritakan situasi sebenar dan faham.

Bukanlah susah sangat untuk menerangkan kepada mereka. Saya katakan, bila duduk atas kerusi kena ingat saya, sebab itu lambang saya.

S: Bacaan Tan Sri terhadap ahli dan penyokong UMNO di Port Dickson?

J: Saya tidak bertanding melawan UMNO. Saya melawan musuh tradisi UMNO iaitu PKR dan PAS. UMNO melawan PKR selama 20 tahun dan PAS selama 60 tahun. Jika UMNO bertanding pada PRK ini dan saya juga bertanding sebagai calon Bebas, itu lain cerita.

Jadi, tiada sebab untuk pemimpin dan ahli UMNO serta BN tidak menyokong saya.

Ahli dan pemimpin UMNO tahu, walaupun saya tidak bertanding mewakili UMNO, saya tidak menentang mereka tetapi menentang musuh UMNO.

S: Apa kebimbangan utama Tan Sri?

J: Saya risau kalau penyokong tidak keluar mengundi. Saya ada ramai ahli keluarga, saudara-mara, rakan dan ahli UMNO di sini. Mungkin ada yang fikir PRK ini tidak akan mengubah apa-apa, kalah menang pun kerajaan sama.

Saya minta jentera pastikan penyokong keluar mengundi. Saya juga berbincang dengan jentera untuk mendapatkan sokongan masyarakat Cina dan India.

Rakan kita daripada MCA dan MIC turut membantu. Mereka membantu saya secara terbuka.

Saya tidak bimbang mengenai sokongan masyarakat tempatan kerana orang tahu rekod saya berkhidmat di sini. Saya orang tempatan yang bergaul dengan akar umbi. Apabila berjumpa orang di pasar, mereka kata saya orang kampung. Mereka tanya ke mana saya pergi sebelum ini, saya cakap saya menjadi Ahli Parlimen Jempol (sebelum ini) dan kini mahu bekerja di Port Dickson. Alhamdulillah, mereka masih menyokong saya. – BERITA HARIAN

 

3 thoughts on “Saya Bertanding Lawan Musuh UMNO – Isa Samad

  • October 5, 2018 at 12:52 pm
    Permalink

    meluat sampah.. ni tanding apa nya?

    Reply
  • October 5, 2018 at 1:01 pm
    Permalink

    akan ada ramai2 lagi pengikut2 yg korup akan didakwa selepas ini… insyallah ada tu nanti!!! korup terlampau banyak luas besar dimana2….! yg lakukan org yg ada pengaruh ….! tkpe lepas ni tk dpt lari punya….! jerat tk lupa pelanduk??? ingat tu ya..!

    Reply
  • October 5, 2018 at 1:03 pm
    Permalink

    mudah2an ramai di cekup nanti ya…
    !!! tunggu jer… tk dpt sorok lagi ya!! kita semua nantikan sama2 ya…!

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.