Pil Gugur Kandungan Dari India Dirampas

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan merampas 2 jenis produk vaksin dan Misoprostol tidak berdaftar dari India yang dipercayai dijual di pasaran gelap untuk pengguguran haram.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata hasil serbuan yang dijalankan ke atas 2 suspek di sekitar Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur, pihaknya merampas 350 bebuli produk vaksin tidak berdaftar dengan nilai lebih RM28,000 dan 1,400 biji tablet Misoprostol bernilai lebih RM63,000.

“Produk yang dirampas ialah Bio Typh Typhoid Polysaccharide Vaccine, Tetanus Vaccine dan Cytolog Misoprostol Tablet.

Hasil siasatan awal mendapati produk vaksin ini dijual secara terus oleh warga tempatan kepada klinik perubatan di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Noor Hisham berkata penjualan produk tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan satu kesalahan di bawah Peraturan 30(1) peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.

“Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama, manakala bagi syarikat yang melakukan kesalahan itu boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama,” katanya.

Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk memastikan produk kesihatan yang dibeli di pasaran mematuhi keperluan undang-undang yang berkuatkuasa.

Pengguna boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk dengan melayari http://www.npra.moh.gov.my atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400.-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.