Pengundi Cuba Rempuh Dewan Ketika Proses Pemilihan PKR Cabang Tanah Merah

TANAH MERAH – Proses pemilihan PKR cabang ini agak kecoh apabila para pengundi cuba merempuh masuk ke dalam Dewan Orang Ramai Kg. Bendang Nyior.

Kejadian berpunca akibat kawasan yang menjadi pusat pengundian itu terlalu kecil bagi menampung hampir 3,000 pengundi.

Tinjauan Utusan Malaysia ketika jam 12 tengah hari mendapati hanya sekitar 100 pengundi sahaja yang selesai mengundi sejak pukul 9 pagi.

Seorang ahli PKR, Fatimah Ali, 60, berkata, s warga emas sepertinya sepatutnya diberikan laluan khas supaya memudahkan urusan.

“Sikap sambil lewa petugas untuk membantu orang seperti saya amat mengecewakan, kami tidak mampu untuk berdiri lama,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Syafiq Suhardi, 23, berkata, sistem pengundi amat longgar dan tidak teratur sehingga menyebabkan keadaan menjadi kelam kabut.

“Tempat mendaftar dan pintu laluan ke dewan terlalu hampir, jadi bercampur dengan orang yang mahu mendaftar dan orang yang sedang beratur untuk mengundi.

“Pemberian pas kepada pengundi untuk masuk ke dalam dewan pun bercelaru, pada awalnya diberi apabila sudah berada di depan pintu dewan, tiba-tiba bertukar pula, itu yang membuatkan orang marah,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.