Parti Komponen PH Berdepan Krisis Kewangan Kritikal

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir mengakui parti komponen Pakatan Harapan (PH) kini berdepan krisis kewangan yang kritikal untuk menguruskan perjalanan parti.

Pada masa sama, Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH berkata, pakatan itu masih buntu mencari formula terbaik bagaimana parti hendak mendapatkan dana politik bagi membiayai urusan perjalanan parti tanpa wujud elemen rasuah.

Katanya, konflik yang timbul dalam parti PH hari ini ialah apabila parti memerlukan dana untuk membiayai parti tanpa memerlukan bantuan kewangan daripada mana-mana pihak bagi mengelak elemen rasuah.

“Krisis kewangan parti komponen PH ketika ini sangat kritikal. Kita adalah parti berasaskan orang ramai. Kami ada ramai ahli di seluruh negara. Mereka berkempen untuk kami.

“Tetapi tidak semua yang sukarela, ada yang perlu dibayar. Dalam perhimpunan misalnya, nasi lemak perlu dibayar. Kadang-kadang wakil rakyat dan menteri belanja tapi sekarang parti tidak ada duit.

“Namun mesyuarat hari ini, kami gagal mencari penyelesaian untuk mendapat wang bagi menguruskan parti tetapi hakikatnya parti politik perlu kepada kewangan.

“Kita akan kaji bagaimana parti boleh berfungsi tanpa bantuan mana-mana pihak. Ada cadangan kita mengikuti Jerman yang kerajaan memberi peruntukan kepada parti politik supaya tidak memerlukan derma daripada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Pengerusi Kebangsaan DAP, Tan Kok Wai dan timbalannya, Gobind Singh Deo; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agungnya, Mohd Anuar Mohd Tahir.

Pada 9 Julai lalu, Dr Mahathir mengumumkan kerajaan akan menggubal dan membentangkan undang-undang baharu berkaitan akta dana politik di Parlimen sebagai sebahagian usaha membanteras rasuah.

Langkah itu bagi membanteras pemberian wang atau dana daripada ahli atau penyokong parti yang mengharapkan sesuatu sebagai balasan.

Beliau berkata, jawatankuasa yang diketuai Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Negara (GIACC) akan dibentuk untuk melakukan kajian dan mengemukakan draf akta pembiayaan politik berkenaan sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.

Menjelas lanjut, Dr Mahathir berkata, jika PH menerima pakai amalan di Jerman yang mana kerajaan memberi peruntukan kepada parti, ia mungkin mencukupi bagi semua parti.

“Namun mungkin semua orang selepas ini akan tubuhkan parti politik supaya dapat wang. Ini semua kena kaji supaya tidak timbul korupsi,” katanya.

Beliau turut memberi contoh kerajaan baru-baru ini menolak derma berjumlah RM100 juta kepada Tabung Harapan Negara kerana pemberi mempunyai hajat lain daripada kerajaan. – BERITA HARIAN

One thought on “Parti Komponen PH Berdepan Krisis Kewangan Kritikal

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.