Kehadiran Anwar Di Majlis Ramah Mesra Bersama Tentera Hanya Kebetulan – Amiruddin

PORT DICKSON – Kehadiran calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Negeri Sembilan, adalah secara kebetulan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Amiruddin Harun, berkata tiada jadual khusus dalam program Anwar membabitkan majlis itu dan semuanya berlaku secara kebetulan.

“Pagi tadi kami sarapan bersama dan kemudian beliau (Anwar) menaiki kereta saya selepas bersetuju mengikut saya ke program bersama anggota tentera.

“Kita faham calon PRK tidak boleh berkempen dalam kem tentera.

“Saya harap perkara ini jangan dijadikan isu kerana kehadiran Anwar adalah atas jemputan saya dan bukan penganjur,” katanya pada sidang media di Dewan Hangar, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini, hari ini.

Hadir sama, Panglima Latihan dan Doktrin Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Wira Md Tajri Alwi dan Panglima 1 Briged, Brig Jen Datuk Reduan Omar.

Sementara itu, Reduan berkata, calon memang dilarang berkempen dalam kem tentera namun kehadiran Anwar adalah atas undangan peribadi Menteri Besar.

“Kita menghormati jemputan tetamu kehormat dan beliau bebas membawa siapa saja untuk hadir.

“Anggota tentera berhak mengundi mengikut pilihan masing-masing. Apa yang kami harapkan ialah warga tentera mendapat bantuan kebajikan kerajaan kerana mereka berkhidmat untuk rakyat dan negara,” katanya.

Seramai 5,363 warga tentera tersenarai sebagai pengundi awal pada 9 Oktober ini.

Sementara itu, Anwar dalam ucapan ringkasnya antara lain menyatakan hasrat menjadikan Port Dickson sebagai ‘markas’.

“Soal perumahan anggota tentera akan diberi keutamaan, khususnya mereka yang belum mempunyai kediaman sendiri,” katanya.

Dalam majlis sama, Aminuddin mengumumkan bantuan RM50,000 untuk Markas 1 Briged dan RM20,000 bagi Markas Latihan Tentera Darat.

“Ini adalah bantuan tahunan dan tahun depan ada lagi peruntukan disalurkan kepada mereka.

“Kerajaan negeri akan melihat keperluan anggota tentera yang hampir nak bersara tetapi belum memiliki rumah mampu milik,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.