Enam Anggota Bomba Yang Maut Penyelam Terlatih

ENAM anggota Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) yang lemas di lombong Taman Putra Perdana, Puchong, malam semalam, adalah penyelam yang mendapat pengiktirafan pelbagai agensi penyelamatan di air.

Timbalan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Soiman Jahid menegaskan, kejadian yang berlaku sehingga mengorbankan nyawa enam anggota PPDA ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat seorang remaja berusia 17, Mohd Ilham Fahmi Mohd Azam, adalah di luar dugaan.

Katanya, siasatan awal dilakukan mendapati tidak berlaku sebarang kecuaian ke atas enam anggota PPDA ketika melakukan operasi dan mereka melaksanakan tugas mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“JBPM sudah menubuhkan pasukan penyiasat dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga minggu untuk melakukan siasatan terperinci bagi memastikan punca sebenar kejadian,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis penutup Pertandingan Kawad Kecekapan Operasi Kebombaan peringkat Kebangsaan 2018 di Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Timur, Wakaf Tapai, di Marang, semalam.

Pada pertandingan itu, JBPM Perak muncul juara selepas memperoleh dua pingat emas, dua (perak) dan satu gangsa pada acara yang diadakan semalam empat hari bermula Isnin lalu.

Dalam kejadian malam semalam, enam anggota Bomba dan Penyelamat, iaitu empat anggota PPDA Pelabuhan Klang, Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim,32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24, manakala Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, anggota PPDA Shah Alam lemas ketika operasi cari dan selamat seorang remaja berusia 17, Mohd Ilham Fahmi Mohd Azam, yang hilang di lombong tinggal di Taman Putra Perdana, Puchong.

Ketika diminta mengulas pelbagai dakwaan punca kejadian seperti dimuatnaik melalui laman sosial Facebook (FB), Soiman berkata, JBPM tidak mahu menuding jari menyalahkan sesiapa, sebaliknya menganggap mereka yang membuat pelbagai dakwaan itu tidak mendapat gambaran yang sebenar.

“Pelbagai dakwaan yang dimuat naik melalui laman sosial itu mungkin pandangan orang awam dan JBPM bersedia menerima pandangan itu untuk memperbaiki kelemahan, tetapi amat menyedihkan apabila ada antara mereka mencerca dan memandang rendah tugasan kami, termasuk enam anggota yang terkorban,” katanya. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.