Dua Cedera Dalam Letupan Kedai Dobi

KLANG: Dua pelanggan sebuah dobi layan diri 24 jam melecur selepas berlaku letupan di premis berkenaan di Jalan 3E, Bandar Putera 2 di sini, pagi ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Mohd Rizal Buang berkata, mereka menerima panggilan kecemasan pada jam 8.55 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Andalas tiba kira-kira 10 minit kemudian.

“Selepas memeriksa premis, kami mendapati letupan berlaku di bahagian simpanan tangki gas di dalam lubang seluas 3 meter persegi,” katanya. ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kedai itu mengalami kerosakan kira-kira 20 peratus dan punca kejadian masih disiasat manakala mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan.

Sementara itu, jurucakap City Coin Laundry Sdn Bhd, Kelvin Ang berkata, francais di Bandar Putera, Klang sudah dipajak kepada pemilik lain namun masih mengikuti perkembangannya.

“Pemilik francais itu menghubungi saya pagi ini untuk memaklumkan mengenai kejadian terbabit. Dua kakitangan dihantar ke kedai itu untuk memeriksa, namun ia ditutup pihak bomba,” katanya.

Beliau juga mengesahkan dua pelanggan, seorang lelaki dan anak perempuannya, masing-masing mengalami kecederaan 50 dan 30 peratus, serta sudah dibawa ke hospital untuk rawatan.

“Kakitangan kami juga sudah melawat mangsa di hospital dan kedua-duanya dikatakan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Ini bukan kejadian letupan pertama membabitkan premis Laundrybar, yang mana kejadian sebelum ini dilaporkan berlaku di Jinjang, Kuala Lumpur, pada April lalu menyebabkan seorang wanita berusia 40 tahun mengalami kecederaan.

Kelvin berkata, dalam kes pertama di Jinjang, pihaknya dapat mengenalpasti punca letupan disebabkan kebocoran gas selepas kerja penyelenggaraan, namun dalam kes kali ini, puncanya belum diketahui dan dalam siasatan bomba.

“Sebagai pelopor dalam perniagaan dobi, kami sentiasa mengamalkan langkah keselamatan yang ketat di premis kami untuk memastikan keselamatan pelanggan sepanjang masa, namun sangat malang apabila insiden seperti ini menyebabkan dua orang cedera.

“Rakaman CCTV di premis terbabit juga sudah diambil dan satu salinan diberikan kepada pihak bomba untuk membantu siasatan,” kata Kelvin. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.