Tentera Myanmar Tuduh ARSA Bakar Kampung Rohingya

YANGON – Pemberontak Rohingya didakwa memulakan kebakaran di Rakhine sejak beberapa hari lalu untuk memperhebat pengusiran minoriti Islam itu, kata pejabat ketua komander Myanmar hari ini.

Tuduhan itu jelas satu penafian terhadap tindakan tentera Myanmar yang membakar perkampungan Rohingya sebelum ini, lapor BH.

Lebih 500,000 Muslim Rohingya melarikan diri daripada pertumpahan darah di Myanmar sejak enam minggu lalu dan angka itu semakin meningkat.

Minggu ini Bangladesh melaporkan, antara 4,000 hingga 5,000 orang awam menyeberangi sempadan setiap hari selepas ketibaan reda seketika, dengan 10,000 lagi menunggu di kawasan sempadan.

Etnik Rohingya yang tiba di Bangladesh mendakwa kebanjiran ketibaan itu susulan satu kempen berganda menakut-nakutkan dan pembakaran oleh tentera Myanmar di beberapa bahagian di Rakhine yang masih menempatkan penduduk Islam.

Namun tulisan di Facebook milik pejabat ketua tentera Min Aung Hlaing berkata, kebakaran di tujuh buah rumah perkampungan Rohingya awal semalam dimulakan seorang ‘Einu’ atau pemberontak Tentera Pembebasan Arakan Rohingya (ARSA).

Tulisan itu berkata, anggota keselamatan ‘bekerja mengikut undang-undang’ di Mi Chaung Zay di Buthidaung membantu penduduk memadam kebakaran yang meletus jam 2.40 pagi 4 Oktober.’

Menuduh pemberontak ARSA sebagai ‘pengganas pelampau’, kenyataan berkata, mereka menggesa penduduk melarikan diri dari perkampungan Rohingya ke Bangladesh.

Kumpulan hak asasi berkata, data satelit menyediakan bukti satu kempen ‘pembakaran sistematik’ menyasar perkampungan Rohingya, tindakan dianggap Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bersamaan pembersihan etnik.

Sebaliknya tentera Myanmar menafikan membakar perkampungan Rohingya dan secara konsisten menuduh pemberontak sengaja melakukannya sebelum melarikan diri bagi mengumpul sokongan global. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.