Russia, Arab Saudi Tandatangan Perjanjian Lebih RM12.69b

MOSCOW – Russia dan Arab Saudi akan menandatangani perjanjian pelaburan bersama bernilai lebih AS$3 bilion (RM12.69 bilion) ketika kunjungan Raja Arab Saudi, Raja Salman ke ibu kota ini.

Menteri Tenaga Russia Alexander Novak dipetik akhbar Financial Times sebagai berkata semalam, perjanjian itu akan termasuk pelaburan bernilai AS$1.1 bilion (RM4.65 bilion) oleh firma petrokimia Russia, Sibur untuk membina loji di Arab Saudi, lapor BH.

Kementerian itu memetik Novak sebagai berkata, satu dana bersama Russia dan Arab Saudi akan melabur AS$150 juta (RM634.35 juta) dalam firma perkhidmatan lapangan minyak persendirian Russia, Eurasia Drilling Company Limited.

Dalam pada itu, Raja Salman tiba di ibu kota ini semalam, kunjungan rasmi pertamanya ke Russia oleh pemimpin Arab Saudi.

Kunjungan tiga hari itu dijangka memfokuskan perjanjian tenaga dan konflik di Syria.

Raja Salman akan bertemu Presiden Vladimir Putin hari ini dan mereka dijangka berbincang untuk melanjutkan pengurangan pengeluaran minyak sebelum mesyuarat Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) November ini.

OPEC dan sesetengah pengeluar bukan anggota termasuk Russia bersetuju mengurangkan pengeluaran minyak mentah yang membantu menaikkan harga minyak dunia.

Semalam, Putin berkata, satu lanjutan perjanjian OPEC tidak mustahil dan boleh bertahan ‘sehingga sekurang-kurangnya akhir 2018.’

OPEC dan sekutunya bersetuju sejak awal tahun ini untuk mengurangkan pengeluaran mereka sekitar 1.8 juta tong sehari selama enam bulan. Ia akan dilanjutkan secara berperingkat sehingga Mac 2018.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.