Peniaga Bangladesh Didakwa Bunuh Warga Senegara

Seorang penjual kuih warga Bangladesh didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas tuduhan membunuh rakan senegaranya di rumah pangsa Taman Bunga Negara, Seksyen 27, di sini, bulan lepas.

Abdul Rahim, 49, mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Melayu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Dia didakwa membunuh Md Abdur Razzak, 31, di unit rumah pangsa bernombor 716, tingkat 7, Blok 27, Taman Bunga Negara, Jalan Selayang 27/27, Seksyen 27, sekitar jam 12 tengah hari pada 21 September lepas.

Pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Majistret Siti Shakirah Mohtarudin menetapkan 7 Disember ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Selangor, Muaz Ahmad Khairuddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 25 September lepas, media melaporkan mayat Md Abdur Razzak, yang berniaga kuih tradisional Bangladesh dijumpai di dalam longkang di hadapan sebuah masjid di Seksyen 27 di sini.

Suspek kes itu kemudiannya ditahan polis dan siasatan awal menunjukkan dia disyaki membunuh mangsa ekoran rasa iri hati terhadap lelaki itu apabila kuih yang dijualnya lebih laris daripada kuih jualan suspek.-Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.