PAS: Cakap Mahathir Tak Logik

PAS menafikan dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa parti itu adalah punca kepada perpecahan Melayu di negara ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata pandangan bekas perdana menteri itu tidak logik kerana PAS sendiri adalah parti Melayu dan Islam.

Malah katanya anggota parlimen Kota Bharu itu, anggota PAS sendiri adalah orang Islam dan sebahagian besarnya Melayu.

“PAS ini Melayu, ahli PAS yang ada lebih kurang sejuta ini saya saya rasa 99 peratus Melayu.

“Kalau dikatakan PAS ini memecah-belahkan Melayu, PAS itu sendiri adalah Melayu dan Islam.

“Dan mereka yang akan menyokong PAS juga sebahagian besarnya adalah Melayu. Itu (dakwaan Dr Mahathir) satu perkara yang saya rasa tidak logik,” katanya kepada media selepas hadir ke majlis perasmian Pintu Gerbang Dataran Cheng Ho, di Kota Bharu, malam tadi.

Terdahulu, Dr Mahathir dalam satu tulisannya mendakwa orang Melayu berpecah-belah selepas PAS ditubuhkan.

Untuk rekod pengasas PAS adalah beberapa anggota Umno yang mempunyai latar belakang agama dan tidak berpuas hati dengan parti berkenaan.

Dulu kata DAP cauvanis

Dr Mahathir yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkaat kesan daripada itu, hingga kini bukan sahaja Melayu berpecah dua tetapi ramai anggota PAS begitu taasub terhadap parti berkenaan.

 

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata dari aspek sejarah negara pun, parti-parti di negara ini diwujud berasaskan kaum, kecuali PAS.

“Ada parti MCA, MIC, dan Umno itu sendiri atas nama Melayu tapi PAS atas nama Islam.

“Itu bezanya antara Umno dan PAS. Penyokong-penyokong pun ada di kalangan bukan Muslim walaupun mereka tidak menjadi ahli.

“Jadi mengatakan PAS memecah-belahkan orang Melayu saya rasa tak betul,” katanya.

Takiyuddin juga menambah Dr Mahathir mungkin tidak lagi dapat mengingat apa yang diperkatakannya.

“Dia cakap dua minggu lepas, kemudian dia kata lain pula.

“Kita nampak hari ini (semalam) dia dah melawat pejabat DAP, baguslah. DAP yang dulu dia kata cauvinis, rasis dan sebagainya.

“Tun nampaknya cepat lupa. Saya tak nak komenlah sebab orang boleh nilai kenyataan-kenyataan beliau ini.

“Kita sendiri pun macam tak percaya apa yang keluar dari mulut dia,” katanya mengenai wujudnya kes mengkafirkan orang Islam dan amalan dua imam di surau atau masjid.-Malaysiakini

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.