Oxford Hanya Tawar Biasiswa RM224,000 Pada Syed Saddiq

Sidang media penuh hiba yang dilakukan oleh Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mengumumkan bahawa beliau menolak pengajian peringkat sarjana di Universiti Oxford, di United Kingdom (UK), Isnin lalu, memang menarik perhatian ramai.

Rentetan daripada sidang media yang diadakan pada Isnin lalu, banyak persoalan telah berbangkit. Daripada mahu menjadi hero, kini bertukar menjadi `bala’.

Dakwaan beliau disogok RM5 juta sebagai habuan keluar dari Malaysia dan jumlah biasiswa menjadi perhatian.

Ini kerana jawapan beliau mengenai biasiswa sebanyak RM400,000 yang dikatakan diberikan kepada beliau, sangat mengelirukan sedangkan jumlah sebenar biasiswa yang ditawarkan adalah berbeza, berdasarkan kepada pemantauan dalam laman web universiti terbabit.

Tinjauan yang dijalankan oleh Utusan Online dalam laman web universiti itu untuk kursus 12 bulan Sarjana Dasar Awam yang sepatutnya diambil oleh Syed Saddiq, yuran pengajian terkini kursus itu hanya bernilai 39,992 pound sterling atau kira-kira RM224,000.

Pencarian di laman web universiti itu juga menunjukkan kemungkinan kos hidup yang diperlukan oleh seorang pelajar bagi tempoh 12 bulan merangkumi makanan, pakaian, buku serta kehidupan sosial dianggarkan mencecah sehingga 18,000 pound sterling (RM100,938).

Jika ditambah kedua-dua yuran pengajian serta keperluan kos hidup itu, jumlah itu kurang berbanding RM400,000 nilai tajaan yang dinyatakan oleh Syed Saddiq.

Persoalannya siapa yang memberikan lebihan biasiswa itu? Adakah Syed Saddiq kini sudah kantoi?. Bukan itu sahaja, beliau turut mendakwa tawaran sogokan itu dibuat oleh `penasihat Perdana Menteri’.

Hebat sangatkah beliau sehingga mahu ditawarkan habuan RM5 juta? Habuan itu didakwanya untuk membuka sekolah debat.

Walaupun Syed Saddiq hebat berdebat tetapi beliau masih mentah dalam politik. Masih belum berdepan dengan `sepak terajang’ dalam politik. Hebat debat bukan bererti hebat berpolitik.

Disebabkan isu Oxford ini, Syed Saddiq kini menjadi bahan kecaman dan lawak di media sosial. Apatah lagi isu melibatkan tarikh surat tawaran rasmi universiti Oxford juga diperkatakan netizen. Surat itu dikeluarkan pada 17 Mei lalu, namun Syed Saddiq menerimanya pada 15 Jun. Surat itu perlu dijawab segera sebelum 11 Julai.

Kalau ikut logik, sekiranya Syed Saddiq terima tawaran Oxford, beliau kini sedang menelaah pelajaran di kampus Oxford, mulai 21 September lalu hingga 30 September tahun depan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.