Opick Kunci Mulut Soal Poligami

LAZIMNYA kunjungan pelantun lagu Dealova, Opick ke Malaysia sentiasa tenang tanpa diiringi ribut sensasi. Dalam senyum dan penampilan yang dihomati, emosinya jarang digugah selain bercerita tentang kelangsungan kerjaya seni sepanjang memperjuangkan muzik bercorak kerohanian.

Kehadirannya sewaktu majlis pelancaran album baharu berjudul Allah Bersamamu baru-baru ini bagaimanapun kelihatan berbeza. Kali ini, dia terjebak membicarakan kisah peribadi apabila angin kontroversi sama turut bertiup dari tanah kelahiran.

Menerusi berita yang hangat diperkatakan di Indonesia, rumah tangga penyanyi itu dengan isterinya, Dian Rositaningrum kini sedang berantakan gara-gara dakwaan berpoligami secara rahsia.

Opick dikhabarkan telah melangsungkan perkahwinan dengan penyanyi latarnya yang dikenali sebagai Wulan. Perkhabaran tersebut secara tidak langsung telah membuatkan Dian terluka dan kecewa lantas meluahkan emosi di laman sosial Instagram.

Tanpa memberikan sebarang jawapan khusus, Opick mengambil pendekatan mengunci mulut selain enggan mengulas lanjut mengenai khabar angin yang hangat diperkatakan media di republik tersebut.

“Di sana (Indonesia) saya diam, jadi di sini juga saya berbuat perkara sama. Rumah tangga saya dan isteri dalam keadaan aman dan baik-baik. Teman-teman saja yang memperbesarkan cerita,” reaksi Opick saat diajukan persoalan tentang kebenaran dakwaan berpoligami.

Tenang menjawab soalan, sambil tersenyum Opick memberitahu, dia tidak berasa tertekan atau terkilan dengan tohmahan masyarakat terhadap tindakannya yang berpoligami secara rahsia.

Lumrah menjadi selebriti, setiap perkara dilakukan pastinya akan mengundang pelbagai persepsi dalam kalangan peminat.

“Tidak mengapa kerana ia cuma kata-kata orang dan segala tohmahan itu saya terima. Cuba lihat wajah saya. Alhamdulillah saya baik-baik sahaja,” ujar Opick atau nama lengkapnya, Aunur Rofiq Lil Firdaus.

Cerita dalam lagu

Mengalih bicaranya, Opick menjelaskan, dia lebih selesa menggunakan medium penghasilan lagu untuk meluahkan perasaan selain bercerita tentang kisah hidupnya.

Album ke-19 yang baru dilancarkan Opick turut sarat dengan mesej dan nilai kemasyarakatan serta responsnya terhadap situasi yang berlaku terhadap isu pelarian Rohingya, rakyat Syria dan Palestin.

Memuatkan sebanyak 10 buah lagu, penyanyi berusia 48 tahun itu mengambil masa sekitar dua bulan untuk menghasilkan album tersebut sebelum melancarkannya di Indonesia pada Jun lalu.

“Dalam hidup ini, saya percaya setiap daripada kita pernah melalui fasa kesedihan. Keadaan sedih dan duka juga akan membawa kita kepada Allah untuk memohon petunjuk.

“Album kali ini lebih sedih kerana ia merupakan reaksi saya terhadap kejadian yang menimpa masyarakat kurang bernasib baik seperti pelarian Rohingya, rakyat Syria dan Palestin,” terangnya.

Merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Opick, album tersebut diterbitkan Tombo Ali Production dan diedarkan secara digital oleh Monkey Bone dengan kerjasama PMP Entartaiment sebagai pengedar fizikal di Malaysia.-Kosmo

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.