Kerajaan Tubuh Jawatankuasa Tangani Penipuan Hartanah

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menubuhkan jawatankuasa untuk membanteras kontraktor yang menjalankan penipuan seperti melalui skim perumahan mampu milik.

Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata, jawatankuasa itu akan bekerjasama dengan polis dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi menangani perkara itu.

“Kita telah tubuhkan jawatankuasa dan mesyuarat pertama juga telah dibuat dengan kehadiran polis, KPDNKK, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), wakil Bank Negara dan juga NGO Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

“Sekarang kita hanya tugggu tindakan lanjut, mereka yang terlibat juga telah ditahan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Sidang Kemuncak Perumahan dan Hartanah ke-20 di Subang Jaya, hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan penipuan skim jualan rumah bernilai RM6.2 juta yang dijalankan syarikat DBI Properties dan Syarikat Juta Kelulut Resources, yang membawa kepada penahanan tiga individu termasuk pelakon Datuk Boy Iman 2 Oktober lalu.

Boy Iman atau nama sebenarnya Nuruliman A Rahman merupakan pengarah urusan DBI Properties dan Ketua Pegawai Eksekutif DBI Technology (DBI).

Penahanan dibuat selepas polis menerima 188 laporan berkaitan dakwaan penipuan oleh 2 syarikat tersebut.

 

Kes itu mendapat perhatian umum selepas dibangkitkan laman Facebook popular, PW Community, serta penglibatan PPIM yang mempertemukan sejumlah 100 yang mendakwa ditipu DBI Properties dengan Boy Iman.

Sebelum ini, satu rakaman yang menunjukkan Noh merasmikan ibu pejabat DBI Properties tersebar di laman sosial.

Noh kemudian menafikan mempunyai sebarang kaitan dengan syarikat itu, dan berkata KPKT tidak pernah mengiktiraf skim yang dijalankan mereka.-Malaysiakini

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.