KAFA Tumpu Pemilikan Lesen, Perlawanan Bertemu Melaka United

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) memberikan tumpuan kepada dua perkara penting yang dihadapinya sebelum melakukan perancangan berkaitan pembentukan pasukan Kelantan pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata ketika ini barisan pengurusannya memberikan tumpuan kepada perlawanan terakhir Liga Super Kelantan bertemu Melaka United pada 21 Okt ini dan pemilikan lesen kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi membolehkan pasukan itu bersaing di kancah Liga Malaysia musim depan, lapor Bernama.

“Ianya perkara lebih penting dari segala perkara kerana melibatkan status pasukan Kelantan sama ada layak atau dibenarkan untuk menyertai kampen Liga-M musim depan (2018),” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Bibi Ramjani berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat bekas Ketua Jurulatih Kelantan musim 2016 Velizar Popov bersedia berbincang bersama KAFA untuk kembali bersama skuad The Red Warriors (TRW) musim depan.

“Kami tidak mahu bercakap secara terperinci pembentukan pasukan sama ada pemain dan jurulatih sebelum tamat perlawanan bertemu Melaka United dan memenuhi semua syarat ditetapkan oleh FAM dan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLPP) untuk kelayakan mendapat lesen bagi saingan musim depan.

Kelantan perlu mendapatkan lesen kelab FAM dan AFC terlebih dulu sebelum boleh beraksi dalam Liga Super musim depan selain terpaksa bergantung kepada perlawanan terakhir bertemu Melaka United untuk kekal pada saingan Liga Super secara automatik.

Sebelum ini, penganjur Liga Malaysia, FMLPP memberi masa sehingga September lepas kepada pasukan Liga Super untuk menyiapkan kriteria minimum yang membolehkan mereka mendapatkan lesen kelab daripada AFC dan FAM.

Sekiranya mana-mana pasukan yang gagal mendapatkan lesen, pasukan terbabit tidak dibenarkan bertanding dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.