Jajahan Nusantara Aisyah Aziz

SEKITAR empat tahun lalu, sewaktu Aisyah Aziz sedang ghairah mengulit kariernya sebagai penyanyi, dia pernah beberapa kali cuba untuk menaakul masa depan, membayangkan untung nasibnya bergelar seorang insan seni.

Pada hemat penghibur pentas berusia 23 tahun yang mula mengukir nama menerusi program Akademi Fantasia 2013 (AF2013) itu, perjalanan kerjayanya dalam dunia hiburan tidaklah segah atau semeriah rakan-rakan lain.

Apa yang dilihat oleh Aisyah pada waktu tersebut hanyalah laluan mendatar kosong, yang kadangkala diserikan dengan beberapa penerbitan single untuk memenangi hati khalayak.

Pemilik nama lengkap, Nur Aishah Aziz itu sedar, perkembangan kariernya sepanjang empat tahun bukanlah suatu perkara yang boleh dibanggakan. Aisyah bagaimanapun mengerti, pasti ada hikmah di sebalik aturan hidup yang telah ditentukan oleh Tuhan untuknya setakat ini.

“Meneliti kerjaya nyanyian saya secara profesional sejak menyertai AF2013, ia masih berjalan di atas trek yang betul. Single masih dikeluarkan secara berkala dan undangan nyanyian serta berlakon teater di Singapura juga masih kerap diterima.

“Bagaimanapun, saya masih hijau dalam industri. Banyak perkara yang perlu saya pelajari sebagai seorang penyanyi dan penghibur tetapi saya percaya, Allah Maha Bijak dalam mengaturkan kehidupan hamba-Nya,” ujar Aisyah ringkas membuka bicara.

Peluang

Biarpun keberadaan Aisyah dalam industri muzik boleh disifatkan sebagai lambat panas, namun usahanya membina nama sejak empat tahun yang lalu tidak pernah terpadam.

Buktinya, selain berjaya meraih pencalonan terbanyak pada Anugerah Planet Muzik 2017 (APM2017) yang bakal diadakan pada 14 Oktober ini di Singapura, Aisyah juga baru selesai merakamkan single bersama penyanyi kelahiran Indonesia, Rizky Febian.

Berjudul Indah Pada Waktunya, lagu tersebut disifatkan Aisyah sebagai senjata baharu yang mungkin dapat membantunya untuk meloloskan diri ke pasaran muzik Indonesia, sekali gus mengembangkan pengaruh sebagai penyanyi di republik tersebut.

“Projek duet bersama Rizky boleh dianggap sebagai satu usaha sama yang memberi banyak manfaat kepada dua pihak. Rizky dapat melebarkan pengaruhnya ke Singapura dan Malaysia, manakala saya dapat mengintai peluang di Indonesia.

“Pada masa sama, saya juga dapat berkenalan dengan teman-teman baharu yang barangkali boleh merujuk saya kepada mana-mana penerbit lain untuk projek akan datang,” ujar Aisyah yang melihat paduan tersebut sebagai prospek seninya pada masa akan datang.

Sungguhpun diberi peluang untuk memberi warna terhadap diskografinya menerusi kerjasama dengan karyawan luar negara, penyanyi yang popular dengan lagu Mimpi dan Pilihan Sejati itu mengakui masih gusar dengan penerimaan umum.

“Sejujurnya, cita rasa khalayak pada masa kini agak sukar untuk ditebak. Apa yang kita jangka bakal menjadi hits tidak semestinya akan diterima ramai dan kadangkala, lagu yang melodinya biasa-biasa boleh menjadi viral tanpa sebarang promosi sokongan.

“Ia membuatkan saya lebih kuat berusaha untuk memastikan lagu ciptaan Iffa Facher ini diterima sebaik-baiknya oleh pendengar di Malaysia, Singapura dan Indonesia,” tuturnya yang masih belum dapat menentukan tarikh pemasaran lagu tersebut.

Kualiti

Melanjutkan bicara mengenai promosi yang akan dijalankan selepas lagu tersebut dilancarkan kelak, Aisyah merancang untuk mengikut konsert jelajah bersama Rizky yang dijadualkan berlangsung di sekitar Indonesia.

“Selain itu, kami juga akan terbang ke Korea Selatan untuk merakamkan muzik video.

“Saya dan Rizky berharap agar usaha-usaha yang dilakukan ini membuka peluang kepada lagu kami untuk lebih diterima ramai,” ujar Aisyah lagi.

Mengimbas kembali proses pembikinan lagu berentak balada tersebut, Aisyah yang berkenalan dengan Rizky sekitar dua tahun lalu sewaktu menghadiri majlis sidang akhbar APM2015 di Jakarta, Indonesia tidak mengalami banyak masalah sepanjang rakaman dijalankan.

Cuma, adik kepada pelakon Aliff Aziz itu berkata, dia perlu meningkatkan standard muziknya agar setaraf dengan pemuzik-pemuzik yang berada di sana,

“Di Indonesia, pemuzik di sana cukup akrab dengan bidang yang mereka ceburi. Kebanyakan karya yang dihasilkan juga bermutu tinggi dan selalunya kedengaran mahal.

“Jadi, saya cuba mengikuti cara kerja mereka agar hasil akhir nanti tidak mengecewakan,” katanya yang turut memuji cara kerja pemuzik di Indonesia.

Teater

Beralih ke arah sisi seni yang lain, Aisyah juga dilihat aktif berlakon teater di negara kelahirannya, Singapura.

Terlibat dengan teater muzikal berbahasa Inggeris seperti The Great Wall Musical, Aisyah menganggap pentas teater sebagai platform yang baik untuk mengasah kemahiran sewaktu mengadakan persembahan nyanyian.

“Berlakon teater banyak membantu saya memperbaiki mutu persembahan nyanyian. Menerusi pementasan teater, para pelakon diajar mengawal pentas dan pada masa sama mengawal emosi penonton yang hadir.

“Ia merupakan pembelajaran percuma yang dapat saya aplikasikan terhadap bidang nyanyian. Jika diberi peluang untuk berlakon teater berbahasa Melayu di Malaysia, saya tidak akan menolak,” kongsinya.

Selain itu, Aisyah turut menyenangi proses pembelajaran teater walaupun ia memakan masa yang agak lama.

“Saya suka berkawan dengan orang teater kerana mereka semua bijak. Kalau boleh, saya mahu dekat dengan golongan sedemikian agar saya juga dapat menyerap kepandaian mereka dalam berseni,” katanya lagi.

Rambut

Ditanya mengenai penampilannya, Aisyah yang sering dilabel peminat sebagai artis dengan warna rambut eksentrik hanya tertawa kecil. Katanya, sejak beberapa tahun lalu, dia telah masak mendengar kritikan daripada khalayak yang tidak senang melihat rambutnya dicelup dengan warna-warna pelik.

“Orang boleh bercakap apa sahaja kerana mereka mahu melihat saya berasa tertekan dengan kritikan. Namun, kenapa perlu saya terkesan dengan cakap-cakap orang?

“Jika cakap-cakap negatif tersebut tidak dipedulikan, lama-kelamaan mereka akan berdiam juga,” katanya.

Tambah Aisyah, dia cuba menjadi diri sendiri dan tidak mahu terikut-ikut dengan pengaruh orang lain.

“Apa sahaja cita-cita setiap individu dan bidang yang diceburi, jadilah diri sendiri. Saya pasti, mana-mana individu pun akan senang diterima oleh khalayak sekiranya bersikap begitu,” katanya menutup perbualan.-Kosmo

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.