Fasha, Jejai Berdamai

KUALA LUMPUR: Perselisihan faham berhubung dua kes mahkamah antara pelakon, Fasha Sandha dan bekas suami selesai selepas mereka mengambil tindakan untuk berdamai sekaligus menarik semula permohonan injunksi dan komital di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini.

Di hadapan Hakim Syarie Muhamad Abd Karim Wahab, Fasha, 33, menarik semula perintah injuksi yang difailkan pada Mac terhadap Jejai atau nama sebenarnya Rizal Ashram Ramli, 41, kerana didakwa masih mengganggunya.

Sementara itu, di hadapan Hakim Syarie Nasir Abdul Aziz, Jejai menarik semula kes komital berhubung hak lawatan anak dan beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas isterinya kepada umum berkaitan hal keluarganya.

Kedua-dua prosiding itu berlangsung dalam kamar hakim yang turut dihadiri peguam Zulkifli Che Yong mewakili Fasha manakala Ahmad Badri Idris bertindak sebagai peguam Jejai.

 

STATUS bergambar dimuat naik Fasha Sandha di laman Instagramnya.
Pasangan yang bercerai pada 20 Januari 2016 itu juga bersetuju untuk mematuhi semua perintah asal mahkamah dan semua perintah itu direkod mahkamah.

Dalam pada itu, Fasha Sandha atau nama sebenarnya, Nur Fasha Sandha Hassan dan Jejai memuat naik satu status bergambar di laman Instagram masing-masing bagi mengulas perkara itu dan menjelaskan bahawa penyelesaian secara baik itu dibuat demi masa depan dua anak mereka.

“Alhamdulillah, Tuhan telah berikan petunjuk dan hidayahNya, jalan-jalan kebaikan di antara kami, supaya dapat mencapai penyelesaian demi untuk masa depan anak-anak. Kami amat bersyukur dengan anugerah ini,” katanya.

Ketika ditemui di luar mahkamah selepas prosiding, Fasha Sandha dan Jejai enggan mengulas lanjut berhubung sama ada perkembangan terbaharu itu membawa maksud mereka akan kembali sebagai suami-isteri.

Mereka hadir ke mahkamah bersama-sama kelihatan ceria malah dilihat meninggalkan perkarangan mahkamah dengan kenderaan sama.

Mereka yang berkahwin pada 27 April 2012 dikurniakan dua anak Putra Rayfal, 3 dan Putri Raysha Jemyma, 2 tahun.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.