‘Datuk Neelofa? Tak Terfikir Pun!’

Pelakon dan pengacara, Neelofa menjelaskan tidak pernah terlintas di kepalanya untuk memburu gelaran Datuk.

Kata Neelofa, dia lebih mengutamakan kualiti kerja dan pencapaian dalam kerjayanya berbanding mengejar gelaran dan pangkat.

“Datuk Neelofa? Tidak pernah terfikir pun. Lebih baik saya fokus kepada kerjaya saya dan melaburkan kepada sesuatu yang boleh memberikan nilai kepada diri saya dan orang sekeliling.

“Saya pun ingin tahu apa lagi saya boleh buat selepas ini.

“Buat masa sekarang saya tiada jawapan untuk soalan itu,” katanya ketika ditemui pada majlis perlantikan duta Lancome Malaysia di Eco Sanctuary, Banting, Selangor baru-baru ini.

Neelofa antara selebriti tempatan yang berjaya dalam bidang perniagaan menerusi jenama tudungnya, Naelofar Hijab sejak tiga tahun lalu.

Malah, Neelofa juga menjadi selebriti sulung Malaysia yang tersenarai antara individu yang berjaya di rantau Asia Tenggara, 30 Under 30 Asia 2017 oleh majalah antarabangsa Forbes.

Popularitinya dalam bidang lakonan dan pengacaraan anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan juga tidak dinafikan.

Lebih mengujakan, Neelofa juga menjadi wanita berhijab pertama dilantik sebagai duta jenama kosmetik antarabangsa, Lancome.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.