Azmin Perlu Telefon Saja, Kata Noh

Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar membidas keputusan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali yang menwarkan dua unit kediaman di Pusat Perumahan Rakyat (PPR) di Kota Damansara kepada dua keluarga yang rumah dan kedai mereka dirobohkan semalam.

Katanya, perobohan tiga rumah dan dua kedai di perkarangan masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz di Subang, Selangor itu boleh dihalang dengan hanya satu panggilan telefon.

“Dia (Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali) yang sepatutnya hentikan tindakan itu sebab dia ialah pemimpin dan dia hanya perlu buat satu panggilan.

“Patutnya sebagai menteri besar buat panggilan minta hentikan, kemudian kita selesaikan rumah dulu.

“Bukannya mereka baru duduk di situ, dah bertahun,” kata Noh pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Sidang Kemuncak Perumahan dan Hartanah ke-20 di Subang Jaya, hari ini.

Pada kejadian semalam, seramai sembilan ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) ditahan selepas mengadakan protes terhadap perobohan berkenaan dalam tindakan penguatkuasaan oleh Malaysian Airports Holdings Berhad (MAHB).

Rumah dan kedai tersebut sebelum ini didiami bekas ahli jawatankuasa Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, dan tindakan merobohkannya dijalankan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam dan Pejabat Tanah dan Daerah Petaling.

Azmin dalam kenyataannya semalam, berkata kerajaan negeri Selangor bersetuju untuk membiayai kos sewa unit-unit kediaman tersebut bagi tempoh enam bulan sebelum unit-unit berkenaan kemudiannya ditawarkan kepada dua keluarga berkenaan.-Malaysiakini

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.