Tiga Jam Tergantung Atas London Eye

LONDON – Pengunjung yang menaiki roda Ferris London Eye terperangkap lebih tiga jam apabila roda gergasi yang berhenti secara tiba-tiba, Ahad lalu.

 

AFP melaporkan, menurut syarikat pengendali itu, pengunjung yang menaikinya pada Sabtu lalu terpaksa menunggu lebih lama untuk menyaksikan pemanda­ngan waktu malam bandar raya London ekoran masalah teknikal.

 

“Petang kelmarin (Sabtu) London Eye dihentikan seketika untuk diperiksa masalah teknikal pada pukul 7.21 malam (waktu tempatan).

 

“Pasukan teknikal kami yang pantas tiba di lokasi untuk menilai masalah dan membantu pengunjung turun dari London Eye.

 

“Semua pengunjung selamat turun pada pukul 10.40 malam dan diiringi kakitangan London Eye,” kata seorang jurucakap syarikat itu.

 

Seorang pengunjung membe­ritahu akhbar Evening Standard, dia berada di dalam kapsul pada bahagian paling atas roda Ferris ketika terhenti.

 

“Pada mulanya, semua orang ketawa tetapi kemudiannya mereka semakin gusar apabila masa berlalu,” kata Adil Raja.

 

“Ada seramai 22 orang dalam kapsul kami tetapi hanya terdapat lima atau enam selimut kecemasan, air minuman dan pil glukosa. Saya sememangnya marah kerana kami tiada makanan dan cuaca amat sejuk. Saya berada di atas selama tiga jam,” tambahnya.

 

Bagaimanapun, syarikat berkenaan menyatakan pengunjung tidak berdepan sebarang risiko dan pihaknya bersedia untuk memulangkan harga tiket.

 

London Eye kembali beroperasi pada Ahad lalu.

 

Terdahulu, satu pusingan lengkap dengan menaiki kapsul kaca pada roda Ferris lazimnya mengambil masa selama 30 minit.

 

Tarikan untuk menyaksikan pemandangan bandar raya itu dibuka pada 9 Mac 2000 dan menjadi salah satu ikon terkemuka bandar London.

 

Ia didirikan di tebing Sungai Thames berhadapan dengan Ba­ngunan Parlimen, roda Ferris setinggi 135 meter itu mempunyai sebanyak 32 kapsul dan setiap satu boleh memuatkan seramai 28 penumpang.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.