Selepas 20 Hari, Kapal Sukarelawan Wanita Sudah Menghampiri Gaza

KUALA LUMPUR – Sukarelawan wanita Women’s Boat to Gaza (WBG) yang menaiki kapal Zaytouna sudah menghampiri pantai Gaza, Palestin menurut laman rasmi Facebook misi tersebut, Rose2Rose.

 

Pusat Krisis (CC) WBG berjaya menghubungi kembali ketua misinya, Dr Fauziah Mohd Hasan pada jam 11.40 pagi waktu Malaysia, selepas terputus hubungan.

 

 

Dr Fauziah ketika dihubungi CC WBG mengakui sukarelawan masih sihat, bersemangat dan kental untuk meneruskan pelayaran yang memasuki hari ke-20 memasuki Gaza, memetik Utusan.

 

 

Laporan Channel 2 Israel menyatakan, kapal tentera laut mereka sedang menanti di pelabuhan Ashdod dan bersedia untuk memintas kapal Zaytouna yang membawa sukarelawan WBG.

 

 

Sementara Channel 7 Israel pula mengatakan, puak berhaluan kanan pendatang haram Yahudi pula sedang mempersiapkan flotila mereka sendiri di perairan Gaza untuk menghalang kemasukan Kapal Zaytouna dan dikatakan akan mengarahkan mereka ke Syria.
Kapal Zaytouna yang membawa 13 sukarelawan dari 12 buah negara telah memulakan pelayaran pada 14 September dari Barcelona, Sepanyol menuju ke Gaza dalam misi memecahkan kepungan rejim Zionis Israel ke atas Gaza dengan pendekatan tanpa kekerasan.

 

Sukarelawan yang berada di atas kapal ini terdiri daripada mereka yang mempunyai nama dalam bidang masing-masing di negara mereka serta mempunyai latar belakang agama yang berbeza.

 

Ini merupakan kali pertama kesemua 13 sukarelawan di dalam kapal terdiri daripada kaum wanita, termasuk krew kapal dan kaptennya menjalankan misi ke Palestin.

 

WBG juga menyasarkan untuk meningkatkan kesedaran tentang perjuangan semasa yang ditanggung oleh para wanita di Gaza dalam menentang penjajahan Zionis.

 

Menurut Dr Fauziah anak-anak kapal Zaytouna sudah bersiap sedia untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan sekiranya mereka dihalang oleh tentera Zionis.

 

“Zaytouna memilih jalan aman; tanpa provokasi dan konfrontasi. Mesejnya adalah cinta, keamanan dan kemanusiaan. Prinsipnya adalah menolak keganasan. Krew dan anak kapal kesemuanya wanita dan terlatih dengan pendekatan aman,”

 

Seorang daripada sukarelawan WBG, Yudit Ilany ( rakyat Israel) mengakui kepungan ke atas Gaza merupakan satu jenayah terhadap kemanusiaan.

 

“Walaupun saya merupakan orang Israel, tetapi saya mempunyai tanggung jawab untuk memecahkan halangan Zionis ini dengan apa juga jalan yang ada.”katanya.

 

 

WBG adalah satu projek anjuran Freedom Flotilla Coalition (FFC) menggunakan dua buah kapal iaitu Amal-Hope dan Zaytouna-Oliva.

 

Pada Mei 2010, seramai 10 orang terkorban apabila tentera Israel melepaskan tembakan ke arah kapal Mavi Marmara yang menyertai flotila ke Gaza.

 

Kapal tersebut yang merupakan sebuah daripada kapal yang menyertai Flotila Kebebasan pertama ke Gaza diserbu tentera Israel di perairan antarabangsa selepas kapal didakwa enggan menukar destinasi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.