Kenal Pasti Emosi Pemilik, ‘Kirobo Mini’ Bagaikan Budak 5 Tahun

TOKYO – Sebuah robot mini direka dengan kepintaran budak seusia lima tahun, mampu berbual dan mengenal pasti emosi pemiliknya.

 

Robot yang dinamakan Kirobo Mini ini, diperkenalkan oleh syarikat permotoran terkemuka dunia, Toyota untuk menjadi ‘peneman’ kepada mereka tinggal secara bersendirian di negara itu.

 
Mail Online melaporkan, robot itu perlu dikawal dengan satu aplikasi khas, mempunyai kamera, mikrofon dan sambungan Bluetooth.

 
Robot setinggi 10 sentimeter itu boleh dibeli de­ngan harga AS$390 (RM1,607.21) dan akan dipasarkan menjelang tahun depan.

 

Pengurus besar yang bertanggungjawab dalam projek tersebut, Fuminori Kataoka berkata, robot itu dibina untuk dijadikan peneman setia kepada mereka yang sering bersendirian dan tidak mempunyai teman berbual.

 
Katanya, ramai penduduk Jepun tinggal bersendirian termasuklah warga emas dan golo­ngan bujang.

 
“Robot ini diwujudkan supaya ada seseorang yang boleh bercakap dengan anda. Haiwan mungkin tidak boleh bercakap dengan anda, tetapi robot ini boleh melakukannya,” katanya.

 
Katanya, mungkin ada yang berpandangan skeptikal jika melihat seseorang bercakap dengan robot, namun itulah realiti masa kini.

 
Namun, robot berkenaan hanya akan dijual di Tokyo dan Aichi bagi mendapatkan maklum balas daripada pengguna di sekitar kawasan berkenaan terlebih dahulu sebelum dipasarkan ke lokasi lebih luas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.