Duterte Sebut ‘Go To Hell’ Kepada Obama

MANILA, FILIPINA –  “Go to hell”. Itulah kata-kata Presiden Filipina, Rodrigo Duterte membidas Presiden Barack Obama selepas AS didakwa enggan menjual senjata kepada negara itu.

 

Ia membuatkan Amerika Syarikat (AS) sekali lagi ‘panas’ bahkan, Duterte tidak kisah dengan tindakan AS kerana mendakwa Rusia dan China sanggup menjadi pembekal kepada negaranya, memetik Reuters.

 

“Jika anda (AS) tidak mahu menjual senjata, saya akan pergi ke Rusia. Saya menghantar jeneral ke Rusia dan pihak Rusia berkata jangan bimbang, kami mempunyai semua yang anda perlukan, kami akan memberikan kepada anda.

 

“Adapun China, mereka berkata “hanya datang dan menandatangani dan segala-galanya akan dihantar”,” katanya.

 

Berucap selama tiga jam dengan penuh bersemangat semalam, Duterte berkata, dengan perilaku AS itu, beliau sedang menyusun semula dasar luar negara kerana Amerika Syarikat mengecewakan Filipina.

 

“Tidak mustahil suatu hari nanti saya akan ‘berpisah’ dengan Amerika,” katanya.

 

Sementara itu di Washington, pegawai-pegawai AS berkata, kenyataan Duterte itu bertentangan dengan hubungan mesra kedua-dua negara yang terjalin sejak berdekad lalu.

 

Jurucakap White House, Josh Earnest berkata, setakat ini tiada sebarang komunikasi dengan Filipina berhubung perubahan dalam hubungan dua negara itu.

 

Bagaimanapun, Earnest tidak berganjak daripada kritikan AS terhadap taktik Duterte memerangi dadah.

 

“Walaupun kami melindungi pakatan yang kuat ini, pentadbiran Amerika Syarikat tidak akan teragak-agak untuk menyuarakan kebimbangan berhubung pembunuhan di luar undang-undang,” katanya dalam satu taklimat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.