Wan Azizah Berdepan Komplot Guling Dalam Parti – CheguBard

SHAH ALAM – Bekas Ketua PKR Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin mendakwa sekumpulan pemimpin kanan PKR membentuk kartel bagi merancang komplot untuk menggulingkan Presiden parti tersebut, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

 

Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegubard berkata, komplot itu dipercayai didalangi beberapa pemimpin kanan parti yang kurang senang dengan tindakan presidennya mengumumkan penubuhan gabungan baru pembangkang pada 22 September lalu secara tergesa-gesa selepas perbincangan meja bulat mengenai pakatan baru itu.

 

Menurut beliau, kartel tersebut seterusnya mengambil kesempatan dengan melancarkan petisyen agar mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR diadakan dengan agenda untuk menarik balik penyertaan parti tersebut daripada pakatan pembangkang baru berkenaan.

 

“Ini ialah ‘coup d’etat’ (rampasan kuasa). Ini ialah usaha undi tidak percaya yang dipelopori kartel berkenaan ke atas Wan Azizah ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim terpenjara.

 

“Bayangkan nanti MPP akan mengambil keputusan ‘u-turn’ dalam usaha pakatan pembangkang, di mana Wan Azizah hendak letak muka?” katanya dalam kenyataan melalui laman blog beliau (http://chegubard.blogspot.my).

 

Dalam laman blog tersebut, Badrul Hisham yang juga Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) turut menyenaraikan nama 25 pemimpin PKR yang didakwa terlibat dengan kartel menggulingkan Wan Azizah.

 

Penandatangan petisyen MPP khas tersebut adalah Tian Chua, Prof Dr. Shaharuddin, Zuraida Kamaruddin, Elizabeth Wong, Latheefa Koya, Hee Loy Sian, Shuhaimi Shafiei, Azmizam, Haniza Mohd Talha, Yunus Jamaari, Yaakob Sapari, Siti Aishah, S. Manikavasagam, Zakaria Abdul Hamid, Roland Chia, Khalid Jaafar, Afif Bahardin, Mansor Othman, Ab Aziz Ab Kadir, Dr Md Nur Manuty, Hasan Karim, Mohammad Faisol Rahman, Tengku Maraziyah, N. Surendran dan Amirudin Shari.

 

PKR akan mengadakan Kongres Nasional Tahunan di Shah Alam, Selangor pada 30 Oktober dan 1 November ini.

 

Badrul Hisham menambah, kartel berkenaan sedang dalam usaha untuk bersatu dengan kumpulan-kumpulan kecil dalam PKR yang kecewa dengan keangkuhan Setiausaha Agung parti, Rafizi Ramli.

 

Beliau memberitahu, pasukan yang bakal dibentuk itu agak besar dan akan memberi cabaran kepada Wan Azizah.

 

“Kepada Wan Azizah, belajarlah kesilapan Anwar iaitu kamu ada banyak panglima setia tetapi kamu sendiri singkirkan mereka kerana tenggelam dalam fatamorgana puji dan puja,” katanya.

 

Malah CheguBard juga berkata Umno-Barisan Nasional sudah pasti mengetawakan tindakan pakatan pembangkang yang merancang mahu membuat undi tidak percaya terhadap kepimpinan perdana menteri.

 

“Kem Najib sudah tentu tertawa kerana kita ternanti undi tidak percaya Umno terhadap najib yang tidak wujud pun tetapi kini kita sendiri berdepan dalam situasi lebih kritikal.

 

“Kepada ahli bawahan sila hubungi MPP yang kamu undi beritahu mereka sila waras!!!!

 

“Sebelum lupa saja nak bagi tahu Azmin dan kamarul ialah antara MP yang masih tidak menyerahkan tandatangan komitmen mereka kepada Ketua Whip Ahli Parlimen PKR bagi mengikat mereka untuk misi undi tidak percaya pada PM…. berapa banyak kolam lah Azmin ni main yer,” katanya. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.