Sultan Johor Teruja Bertemu Bayi Bernama Ibrahim

KUALA LUMPUR – Amat bertuah bagi seorang individu yang memiliki atau diberi nama sama dengan pemimpin terkenal negara, malah ia menjadi lebih teruja apabila nama individu itu adalah sempena hari bersejarah seorang Sultan.

 

Begitulah perasaan gembira seorang wanita apabila menamakan bayi lelakinya Ibrahim kerana dilahirkan sempena Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Mac lalu.

 

Lebih menarik, keterujaaan tersebut dikongsi sendiri oleh Sultan Ibrahim menerusi laman sosial Facebooknya baru-baru ini apabila memuat naik beberapa keping gambar yang menunjukkan baginda mendukung Ibrahim.

 

Menerusi gambar yang dikongsi, Sultan Ibrahim kelihatan tersenyum dan teruja ketika bertemu dengan bayi terbabit yang dilahirkan ketika istiadat kemahkotaannya.

 

“Semalam (2 Oktober) semasa saya berbeli-belah di Kluang Mall, saya telah didatangi seorang wanita yang mendukung bayinya.

 

“Menurut ibu itu, bayi tersebut lahir pada 23 Mac tahun ini, hari yang sama dengan majlis Kemahkotaan saya. Ibunya menamakan bayi itu Ibrahim.

 

“Saya merasa terharu ketika diperkenalkan kepada Ibrahim oleh ibunya. Saya katakan kepada ibunya, bahawa saya sangat bertuah pada hari ini kerana dipertemukan dengan baby Ibrahim,” tulis Sultan Ibrahim dalam entri tersebut yang sehingga kini mendapat perkongsian lebih 1,300 pengguna Facebook.

 

Baginda yang terkenal dengan sifat mesra rakyat turut mendoakan agar bayi Ibrahim akan membanggakan Johor pada masa depan.

 

“Saya percaya baby Ibrahim akan membuat Johor bangga suatu hari nanti. Bertemu dengan rakyat selalu menggembirakan saya,” ujarnya. – MalaysiaDigest

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.