Rahim Thamby Chik Mengaku Tak Bersalah Sebar Dakwa Raja Muda Selangor Murtad

SHAH ALAM – Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen Shah Alam mengikut Akta Hasutan 1948 berikutan dakwaannya terhadap Raja Muda Selangor.

 

Bekas ketua menteri Melaka itu, yang mengundang masalah apabila mendakwa di laman sosial Raja Muda itu menukar agama kepada Katolik, dibenarkan ikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

 

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

 

Rahim turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

 

Pada Jumaat, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, siasatan terhadap Rahim selesai dan menunggu tindakan lanjut Jabatan Peguam Negara.

 

Rahim didakwa membuat satu posting di Facebook pada 25 September, mendakwa Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah memeluk agama Kristian.

 

Dalam tulisannya, Rahim juga menulis penukaran agama itu satu kekecewaan yang amat sangat kepada umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia.

 

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar berkata, peruntukan semasa di mana denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga 3 tahun atau kedua-duanya, digunakan terhadap tertuduh kerana pindaan yang dibuat kepada Akta Hasutan baru-baru ini masih belum berkuat kuasa.

 

Undang-undang itu dipinda dan diluluskan Parlimen awal tahun ini.

 

Di bawah pertuduhan alternatif, Dusuki berkata Rahim boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya.

 

Terdahulu, Dusuki memohon ikat jamin RM10,000 tetapi peguam Rahim, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mencadangkan RM2,000.

 

Firoz berkata mahkamah juga perlu mengambil kira kedudukan tertuduh sebagai bekas ketua menteri, ahli Parlimen, ahli Dewan Undangan Negeri dan timbalan menteri dalam negeri.

 

Hakim Mahkamah Sesyen Slamat Yahya menetapkan kes disebut semula pada 5 November.

 

Minggu lalu, Dewan Diraja Selangor berpendapat posting Facebook Rahim mengenai Raja Muda itu bersifat hasutan dan berbaur fitnah.

 

Beberapa peguam bagaimanapun merasakan Akta Hasutan, yang menerima gesaan banyak pihak supaya dimansuhkan, tidak sepatutnya digunakan dalam kes itu tetapi ia perlu diselesaikan di mahkamah sivil.

 

Peguam hak sivil Syahredzan Johan berkata, Raja Muda itu seharusnya memfailkan saman fitnah terhadap Rahim, bukannya pendakwa raya memohon menggunakan undang-undang hasutan.

 

Walaupun Rahim berulang kali membuat permohonan maaf kepada istana, setiausaha dewan itu, Hanafisah Jais berkata dakwaan tidak bertanggungjawab itu mempunyai unsur fitnah.

 

Rahim sebelum ini mengakui sumber dakwaannya itu adalah daripada laman web yang tidak berasas. – M.Insider

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.