Lebih 1,000 Sambut Kepulangan PM Di KLIA

SEPANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pulang ke tanah air hari ini, setelah mengadakan lawatan kerja ke Milan dan New York, dengan lebih 1,000 orang menyambut ketibaannya di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

 

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor mendarat pada jam 9.55 pagi tadi.

 

Penyokong-penyokong yang begitu bersemangat menyambut ketibaan pemimpin nombor satu negara itu, tiba di perkarangan kompleks berkenaan seawal jam 7 pagi.

 

Mereka turut memegang sepanduk dan kain rentang tertera “Selamat Pulang Wira Negara dan Keamanan Sejagat”, “Najib Razak Pejuang Keadilan Terhadap Palestin dan Umat Islam”, “Allah Selamatkan Najib, Allah Selamatkan Palestin” dan “PM Najib Help Palestine, Save Syrian Refugees, We Are With You”.

 

Turut menyambut kepulangan Perdana Menteri ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menteri-menteri Kabinet, antaranya Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai serta pegawai tinggi kerajaan.

 

Najib mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Milan mulai 2 Oktober lalu, bagi meningkatkan hubungan dua hala antara Malaysia dengan Itali.

 

Ketika di Milan, Najib menghadiri resepsi Hari Malaysia di Expo Milano 2015, pada Sabtu dan kemudiannya melawat Pavilion Itali di ekspo itu.

 

Pada sebelah malam, Najib melancarkan Festival Makanan Malaysia di Pavilion Malaysia, sempena ekspo itu.

 

Sebelum mengadakan lawatan ke Itali, Najib berada di New York, Amerika Syarikat untuk menghadiri Sesi Ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang bertemakan “PBB pada 70: Jalan ke Arah Keamanan, Keselamatan dan Hak Asasi Manusia”, pada 1 Oktober lalu.

 

Di luar persidangan itu, Najib yang mengetuai delegasi terdiri daripada beberapa menteri Kabinet, telah mengadakan rundingan dua hala dengan beberapa ketua kerajaan dan ketua negara yang menghadiri perhimpunan agung itu.

 

Pada sesi ke-70 PBB, Najib merupakan antara pemimpin yang berucap di Sidang Kemuncak PBB untuk Menerima Pakai Agenda Pembangunan pasca-2015 mengenai Pembangunan Mapan dan juga Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Sedunia mengenai Kesamarataan Gender dan Pemerkasaan Wanita.

 

Najib turut menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak Pemimpin Mengenai Pemeliharaan Keamanan serta Pembanterasan ISIL dan Keganasan Melampau yang turut dipengerusikan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.

 

Dalam ucapannya, Najib mengumumkan Malaysia akan membuka pintu kepada 3,000 pelarian Syria dalam tempoh tiga tahun akan datang, bagi membantu meringankan krisis pelarian.

 

Tumpuan lain Perdana Menteri semasa berada di New York adalah mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan menarik, dalam pertemuannya dengan pemimpin perniagaan dan peneraju industri Amerika Syarikat. – TheRakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.