Keluarga Mangsa Kren Tumbang Di Mekah Terima Ganjaran, Pencen

KODIANG – Keluarga Allahyarham Shahidan Saad yang maut dalam insiden kren tumbang di Masjidilharam 11 September lepas menerima ganjaran dan pencen daripada Jabatan Perkidmatan Awam (JPA) hari ini.

 

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang melawat keluarga allahyarham menyerahkan ganjaran dan pencen itu kepada isterinya, Maiziatunazna Bidin@Ibrahim, 44, di rumahnya di sini.

 

“Isteri dan anak allahyarham serta ibunya juga layak menerima ganjaran dan pencen tersebut berdasarkan Akta Pencen 1980,” katanya kepada pemberita di rumah allahyarham hari ini.

 

Beliau berkata sebanyak lima skim ganjaran dan pencen diberikan iaitu ganjaran terbitan, pencen terbitan, pencen tanggungan, ganjaran cuti rehat dan bantuan menguruskan jenazah.

 

Mahdzir berkata pihak kementerian dan JPA telah mempercepatkan proses pengurusan dan pembayaran pencen kepada keluarga Allahyarham Shahidan, 52, bagi membantu meringankan beban mereka.

 

“Kita akan serahkan ganjaran dan pencen ini kepada keluarga seorang lagi mangsa kren tumbang iaitu Siti Nurolshlizan Zolkifli, 37, seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Jeli, Kelantan dalam masa terdekat,” katanya.

 

Allahyarham Shahidan berkhidmat sebagai pembantu makmal di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Bendahara di Kodiang selama 18 tahun.

 

Dalam insiden kren runtuh di Masjidilharam 11 September lepas, tujuh jemaah haji Malaysia antara 107 jemaah haji yang terkorban. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.