Fizo Omar Kongsi Pengalaman Ditipu RM8 Juta

Tujuh tahun lalu ketika berumur 23 tahun dan dibuai populariti dalam dunia seni, dia ditipu oleh rakan kongsi sebanyak RM8 juta untuk membuat pinjaman bank.

 

Semuanya gara-gara menubuhkan syarikat untuk menumpang nama glamour dan membiarkan rakan kongsi menguruskan segalanya.

 

Namun hari ini, pelakon Fizo Omar tampil berkongsi pengalaman dalam mengharungi kehidupan sebelum bergelar usahawan berjaya menerusi sebuah buku yang menggunakan namanya sendiri sebagai judul.

 

Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 30, berkata, hasrat buku itu ditulis bagi memberi inspirasi dan manfaat kepada orang.

 

“Jujur saya cakap, saya tulis buku ini bukan kerana bisnes atau hendak buat duit. Cukuplah kalau seorang pembaca yang beli dan dapat manfaat dari pengalaman saya, itu sudah memadai dan saya sangat gembira.

 

“Buku adalah kisah peribadi saya kerana ia menghimpunkan segala pahit maung dalam mencari sebuah pengertian kehidupan sebenar. Saya pernah kecewa dan putus harapan dengan termasuk kes penipuan RM8 juta namun Allah SWT beri ujian besar untuk saya berubah.

 

“Kalau saya tidak diuji, saya mungkin masih dibuai populariti dan berada dalam zon selesa,” katanya sambil memberitahu kes penipuan itu masih lagi dalam siasatan polis.

 

Buku setebal 272 muka surat itu mendapat sentuhan penulis Abie Abdullah dilancarkan sendiri oleh mentornya, Dr. Azizan Osman bersempena program Intensif Magnet Kekayaan dan Kejayaan (IMKK) yang diadakan di Shah Alam, Jumaat lalu.

 

Buku yang diterbitkan sepenuhnya oleh Azizan Osman Publications Sdn Bhd (AOP) ini menceritakan permulaan hidup anak jati kelahiran Kelantan ini dalam mengharungi kehidupan sebelum bergelar sebagai usahawan berjaya hari ini.

 

Buku tersebut telah pun terjual sebanyak 1,000 naskah dalam masa dua hari di IMKK dan berharap ia dapat memberi lebih inspirasi kepada golongan belia.

 

Buat permulaan kata Fizo, buku berkenaan hanya dijual di program-program anjuran Richworks International Sdn Bhd, iaitu salah satu daripada 27 Syarikat Kumpulan Rickworks pada harga RM33 senaskhah.

 

“Saya ingin mengucap terima kasih kepada mentor saya, Dr Azizan Osman yang tidak putus-putus memberi galakkan kepada saya untuk menulis buku pengalaman diri.

 

“Buku ini disiapkan dalam tempoh tiga bulan. Ketika buku ini ditulis oleh Abie, saya pernah menangis dan hilang mood seharian kerana terlalu sedih dengan pengalaman yang saya lalui dan tidak sangka mampu berubah pada hari ini,” ujarnya. – MaaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.