6.48 Juta Pelancong Lawat Malaysia Setakat Mac

ALOR GAJAH – Malaysia menerima kedatangan seramai 6.48 juta pelancong untuk suku pertama tahun ini, kata Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

 

Ahli Parlimen Masjid Tanah itu berkata, daripada jumlah itu Malaysia menerima kedatangan pelancong terbanyak dari Singapura iaitu 3.24 juta diikuti Indonesia (671,211) dan China (379,265) manakala selebihnya dari negara lain.

 

“Bagaimanapun angka ini dilihat ada sedikit penurunan berbanding 7.91 juta yang kita terima pada suku pertama tahun lalu.

 

“Kita ada strategi dan perancangan tersendiri untuk meningkatkan kedatangan pelancong ke negara kita menjelang akhir tahun ini,” katanya selepas menyampaikan sumbangan cermin mata kepada golongan kurang berkemampuan peringkat Parlimen Masjid Tanah di sini.

 

Malaysia mensasarkan kedatangan keseluruhan 29.4 juta pelancong tahun ini dengan program ‘Malaysia Year of Festivals’ 2015, kesinambungan kepada Tahun Melawat Malaysia tahun lalu.

 

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata lebih 2.4 juta orang mengunjungi Pavilion Malaysia pada Ekspo Milano 2015 yang menyediakan pelbagai keunikan makanan tempatan dan persembahan kebudayaan dan keseniaan daripada kementerian tersebut.

 

Beliau berkata, makanan Malaysia juga tersenarai antara tiga makanan terbaik selepas Itali dan Colombia di ekspo disertai 147 negara yang dibuka sejak Mei lalu dan berakhir 30 Oktober ini.

 

“Pada expo itu juga Malaysia juga menjadi antara negara utama yang ingin dilawati, ini adalah satu petunjuk yang baik bagi Malaysia.

 

Bagi kementerian kita akan terus komited untuk memastikan lebih ramai pelancong datang ke Malaysia.

 

“Antara usaha kita adalah mengadakan lebih banyak hubungan dengan peserta industri dan promosi bukan sahaja dari peserta industri, malah turut menggalakkan pelancong domestik untuk sama-sama mempromosikan Malaysia,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.