17 Lelaki Ditahan Terlibat Kes Penyeludupan Manusia

IPOH – Polis menahan seramai 17 lelaki berusia antara 30 hingga 50 tahun yang dipercayai terlibat dengan aktiviti penyeludupan manusia dalam tragedi bot pancung yang karam di perairan Sabak Bernam, Selangor pada 3 September lalu.

 

Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh berkata, kesemua suspek yang merupakan warga Indonesia dan rakyat tempatan itu disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

 

Katanya, hasil siasatan seorang lelaki telah dituduh mengikut Seksyen 26A ATIPSOM manakala sembilan lelaki lain disiasat di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1953 (POCA).

 

“Sindiket ini didapati beroperasi di kawasan Jeti Hutan Melintang sejak Februari lalu sehingga berlakunya kejadian bot karam yang telah mengorbankan puluhan nyawa.

 

“Aktiviti ini dipercayai didalangi oleh kumpulan lelaki warga Indonesia dengan dibantu penduduk tempatan bagi memudahkan aktiviti penyeludupan manusia dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.