Warga Kota Tunai Solat Sunat Aidiladha Dalam Cuaca Mendung

Kuala Lumpur – Cuaca mendung di beberapa tempat di seluruh negara pagi Ahad tidak menghalang umat Islam untuk beramai-ramai menunaikan solat sunat Aidiladha sebelum melaksanakan ibadah korban.

Lebih 14,000 warga kota dan warga asing memulakan sambutan Aidiladha dengan menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negara di sini.

Jemaah bersama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Datuk Othman Mustapha bertakbir raya sebelum menunaikan solat sunat itu yang diimamkan Timbalan Imam Besar Masjid Negara Mohamad Mohd Zin.

Mohamad, ketika menyampaikan khutbah bertajuk ‘Aidiladha: Pengorbanan Yang Sejati’, menyeru umat Islam supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada terhadap segala ancaman yang boleh membawa kepada kesesatan akidah dan kecelaruan pemikiran serta kelemahan umat Islam.

“Ini selari dengan tujuan agama Islam itu disyariatkan iaitu untuk memelihara kesucian ajaran Islam dan menyelamatkan umatnya daripada terpesong dan terpengaruh dengan ajaran atau akidah yang menyalahi syariat Islamiah,”katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata penyalahgunaan teknologi internet dan telekomunikasi adalah bertentangan dengan tuntutan agama, undang-undang serta tatasusila masyarakat.

Katanya menggunakan laman sosial untuk melemahkan pegangan umat Islam merupakan strategi licik musuh Islam untuk menjatuhkan Islam.

“Hari ini sekali lagi kita melihat umat Islam diserang daripada segenap arah dan cara, daripada serangan berbentuk fizikal hinggalah kepada serangan pemikiran, politik, ekonomi, budaya dan sebagainya.

“Isu menghina Allah SWT, menghina Rasulullah SAW, menghina ibadah orangIslam, menghina Islam dengan menulis ayat-ayat suci pada pakaian, kasut,selipar, beg, jubin rumah, tatu badan dan lain-lain, cercaan terhadap sensitiviti Islam, orang Melayu dan institusi Raja secara viral disebarkan secara meluas di alam siber,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamad berkata adalah menjadi tugas dan tanggungjawab umat Islam untuk menggunakan apa sahaja strategi yang munasabah termasuk media sosial bagi menangkis segala serangan, propaganda, tipu muslihat musuh Islam dan gerakan yang menggugat kedudukan Islam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.