Tunjuk perasaan Hong Kong: Polis Lepaskan Gas Pemedih Mata

Hong Kong – Tunjuk perasaan yang memasuki hari kelapan menyaksikan keadaan semakin tegang di antara pasukan polis dengan penunjuk perasaan, di mana polis dilihat menyembur semburan lada kepada penunjuk perasaan ekoran keadaan yang tidak terkawal, di daerah Mong Kok.

Dalam satu video yang dimuat naik oleh salah seorang peserta tunjuk perasaan itu, kelihatan polis menggunakan penyembur lada dan belantan bagi menyuraikan penunjuk perasaan.

Kamera peserta tunjuk perasaan yang merakam insiden tegang tersebut turut terpercik semburan lada yang dilepaskan pihak polis. Difahamkan, pihak polis mula bertindak sedemikian setelah penunjuk perasaan mula agresif dengan membaling ‘benda’ dan botol air plastik kepada mereka.

Tunjuk perasaan berlangsung sepanjang hujung minggu ini dengan desakan agar kerajaan pusat di Beijing membenarkan penduduk di wilayah pentadbiran khas itu menamakan calon mereka untuk pemilihan pemimpin dalam pilihan raya 2017 nanti. Ini termasuk jawatan penting, Ketua Eksekutif Hong Kong.

Beijing bagaimanapun bertegas dengan mengatakan hanya calon yang mendapat kelulusan kerajaan pusat sahaja yang akan dibenarkan bertanding.

Semalam masuk hari ketujuh tunjuk perasaan secara aman diadakan dengan ribuan penunjuk perasaan berhimpun di daerah Admiralty, di tengah-tengah bandar Hong Kong sambil penunjuk perasaan melaungkan sorakan ‘Keamanan!’ ‘Tolak keganasan!’ dan mendendangkan lagu tema pro-demokrasi.

Ketua penunjuk perasaan kumpulan pelajar yang menjadi peneraju tunjuk perasaan itu bersetuju untuk kembali menyambung rundingan dengan pihak kerajaan, namun secara bersyarat.

Sementara itu di pihak kerajaan, mereka mendakwa kumpulan penunjuk perasaan itu telah mengkucar-kacirkan wilayah yang menjadi pusat kewangan itu.

Akhbar The People’s Daily yang sememangnya diketahui menjadi suara Parti Komunis dalam ruangan pengarangnya merujuk tunjuk perasaan itu sebagai ‘bermimpi di siang hari’ untuk mendapatkan perubahan.

Ketua Eksekutif Hong Kong, Leung Chun-ying pula dalam satu siaran televisyen berkata, pihak kerajaan akan berusaha mematahkan tunjuk perasaan menjelang Isnin.

Leung turut berjanji keadaan akan kembali normal dan tujuh juta penduduk Hong Kong akan dapat meneruskan kehidupan seharian mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.