Tiga Rencah Utama Wasatiyyah Kekal Jadi Nilai Pembangunan – Najib Razak

Kuala Lumpur – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tiga rencah utama wasatiyyah iaitu keadilan, seimbang dan cemerlang akan tetap kekal menjadi nilai dalam membangunkan negara ini.

Beliau berkata kerajaan akan terus beriltizam untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang progresif, maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Kerajaan juga, katanya, mengambil iktibar terhadap semangat pengorbanan silam, untuk digarap dalam perjuangan memakmurkan negara ini dengan berteraskan keadilan dan keharmonian.

“Bertepatan dengan nama Aidiladha, perayaan agung ini diikoni oleh dua ibadah besar iaitu ibadah haji dan ibadah sembelihan korban. Intisari kedua-dua ibadah ini ialah sifat dan semangat pengorbanan demi mencari redha Allah dan meninggikan syiar serta syariat agama Allah.

“Pengorbanan ini, melangkaui dimensi material dan jasadi, malahan ia merangkumi sama aspek jiwa-rohani kita sebagai hamba,” kata Najib dalam perutusan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1435 Hijrah, Ahad, dalam blognya www.najibrazak.com.

Perdana Menteri berkata sebagaimana yang beliau ikrarkan dalam debat umum pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) ke-69 di New York baru-baru ini, Malaysia akan terus berpegang erat dengan pendekatan kesederhanaan sebagaimana yang digariskan agama Islam.

Beliau berkata kerajaan bertekad untuk meneruskan agenda transformasi negara, yang tentunya memerlukan komitmen dan kesediaan untuk melakukan pengorbanan yang tinggi daripada semua.

“Dalam masa yang sama, kita sedia untuk berkorban masa dan jiwa bagi memastikan kestabilan dan kemakmuran yang kita kecapi akan terus dipertahankan.

“Perlembagaan negara dan kedaulatan raja-raja akan kekal menjadi jatidiri bangsa Malaysia, pengkhianatan mahupun pencerobohan daripada sesiapapun ke atas kedaulatan ini akan kita tentang dengan tegas dan tuntas,” katanya.

Najib berkata beliau dan keluarga mendoakan agar mereka yang berada di Tanah Suci selamat mengerjakan ibadah haji dan mendapat Haji Akbar yang mabrur.

“Kepada yang berada di tanah air, marilah kita hiasi hari raya ini dengan takbir dan tahmid, sama-sama melaksanakan solat Aidiladha serta melakukan ibadah korban.

“Semoga sembelihan korban kita ini benar-benar diterima oleh Allah SWT dan meneguhkan lagi takwa kita,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.